DIP Bakal Lahirkan Inovator Muda Negara


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 6 Oktober 2021 – Program Inovator Digital (DIP) yang diperkenalkan untuk pelajar-pelajar di Kolej GENIUS@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal melahirkan bakat muda berinovasi celik digital.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata DIP adalah program teknologi digital khas untuk memupuk generasi inovator digital generasi akan datang.

“Mereka akan menjadi sebahagian daripada Pusat GENIUS@Pintar Negara yang memberi tumpuan kepada teknologi digital, keusahawanan dan pembelajaran berasaskan projek.

“Ini akan memastikan pengembangan bakat digital yang konsisten untuk mengekalkan dan mengembangkan ekonomi digital negara,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran program tersebut yang diadakan secara maya, semalam.

Beliau berkata program itu memfokuskan kepada pembangunan penginovasian masa depan melalui kurikulum Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) yang akan memastikan pembangunan bakat teknologi yang konsisten untuk memenuhi keperluan ekonomi digital.

“Program menerusi kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan (KPM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), UKM dan Pusat GENIUS @ Pintar Negara dihasilkan melalui Model Helix Quadruple.

“Model tersebut merangkumi institusi pendidikan iaitu sekolah dan universiti, KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), rakan industri seperti syarikat EdTech, Tech Corporations, badan bukan kerajaan (NGO) serta yayasan dan komuniti termasuk persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) serta alumni,” katanya.

Dalam ucapannya itu, beliau yakin negara dapat mempercepatkan proses melahirkan lebih ramai inovator dalam memanfaatkan teknologi digital, kecederdasan buatan (AI), blockchain, cloud computing dan sains data.

“Saya berharap program ini menjadi penanda aras dan dikembangkan di sekolah arus perdana lain sesuai agenda negara mewujudkan ekonomi yang didorong oleh inovasi,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata DIP merupakan kerjasama antara UKM dan industri, seperti MDEC dalam usaha untuk mengukuhkan budaya digital berdasarkan lima nilai teras UKM.

“Budaya digital ini akan menggunakan pendidikan futuristik dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran.

“Ia menekankan ekosistem pendidikan yang dilengkapi dengan robot dan teknologi penciptaan dron, realiti terimbuh (augmented) dan maya, dan peralatan yang mendorong UKM menjadi peneraju pendidikan tinggi global.

“Saya berharap kerjasama ini akan menyumbang kepada transformasi pendidikan nasional. UKM akan menyokong hasrat ini dengan mengasah bakat berkualiti bagi menyediakan pakar ICT untuk pembangunan ekonomi digital negara pada masa hadapan,” katanya.

Pusat GENIUS@Pintar Negara, UKM adalah institusi pendidikan untuk murid-murid berbakat yang berumur 12  hingga 17 tahun. Sebelum ini, program ini merangkumi hanya Aliran Sains untuk murid-murid yang berbakat.

Hadir sama di majlis itu ialah Ketua Setiausaha KPM, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz.