DMFC Tukar Tenaga Kimia kepada Tenaga Elektrik

7d5a5072-custom

Oleh Asmahanim Amir
Foto Abd Raai Osman

Sel Fuel Metanol Langsung (DMFC) yang dibangunkan oleh Prof Ir Dr Siti Kartom Kamarudin dapat menukarkan tenaga kimia kepada tenaga elektrik dengan menggunakan metanol dan udara sebagai bahan suapan tanpa memerlukan tenaga elektrik grid.

Menurut beliau, DMFC adalah salah satu alternatif dari sumber keterbaharuan yang sesuai untuk menyokong teknologi bateri.

“Kelebihan sel fuel berbanding bateri adalah ia tidak perlu dicas dan boleh digunakan dengan pengisian semula fuel metanol yang murah dan mudah didapati.

“Kini, ramai penyelidik telah membuktikan DMFC sangat berpotensi sebagai kuasa peranti mudah alih tetapi masih banyak lagi faktor asas yang perlu diselesaikan sebelum produk ini boleh dikomersialkan secara meluas,” katanya semasa menyampaikan Syarahan Perdana Profesor di sini baru-baru ini.

Prof Siti Kartom berkata sepanjang kajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), penyelidik telah berjaya menyelesaikan beberapa isu fundamental seperti menghasilkan mangkin berstruktur nano dan hibrid yang mempunyai kinetik tindak balas yang lebih baik daripada mangkin dipasaran dengan harga yang lebih murah.

“Kita juga telah berjaya menghasilkan membran yang dapat mengurangkan pindah silang metanol dan secara tidak langsung dapat meningkatkan kecekapan sel,” katanya.

Beliau berkata produk DMFC juga telah dihasilkan seperti DMFC Edu Kit yang merupakan modul pengajaran untuk peringkat sekolah menengah dalam bidang tenaga keterbaharuan.

“Kumpulan penyelidik juga telah menghasilkan Peranti Rekabentuk DMFC yang berupaya untuk mereka bentuk konsep sistem DMFC pasif sebelum proses fabrikasi dilakukan.

“Selain itu, kita juga turut menghasilkan beberapa versi pengecas telefon bimbit tanpa menggunakan sumber tenaga elektrik grid,” katanya.

Prof Siti Kartom berkata antara masalah utama yang dihadapi oleh DMFC adalah pindah silang mentol, kinetik tindak balas yang perlahan, masalah pengurusan fuel, harga DMFC yang agak mahal dan kuasa keluaran yang kurang cekap.

“Kekangan seperti kos, kecekapan dan kelestarian DMFC perlu diperhalusi, diatasi dan diperbaharui,” katanya.

Prof Siti Kartom telah dianugerahkan Malaysian Rising Star Award berdasarkan 1% sitasi tertinggi di dunia dan beliau juga diiktiraf sebagai The World most Influential Minds 2015 Top 100 dalam bidang kejuruteraan.

7d5a5027-custom 7d5a5151-custom