Dr Emma dan Dr Mohd Helmi antara 50 Pensyarah Muda Tamat Latihan CEO@Faculty 2.0
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
KUALA LUMPUR, 12 Mac 2018 – Pensyarah muda dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Dr Emma Mirza Wati Mohamad dan Dr Mohd Helmi Ali dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) telah menamatkan latihan selama enam bulan di industri melalui program CEO@Faculty 2.0.
Mereka adalah antara 50 pensyarah dari Universiti Awam yang turut sama menamatkan latihan bersama 27 syarikat gergasi negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata, Program CEO@Faculty 2.0 terdiri daripada pensyarah-pensyarah muda yang mempunyai PhD dan dinamik serta berkaliber dalam menjalakan tugas.
“Mereka telah menajdi mentee di syarikat-syarikat besar selama enam bulan dan kita lihat hari ini mereka sangat excited dengan pengalaman yang mereka perolehi sepanjang di industri. Program seumpama ini akan akan memberi mereka pengalaman yang lebih baik lagi untuk mereka menjadi pensyarah yang lebih cemerlang pada masa hadapan,” katanya selepas majlis University-Industry Dialogue with the Honourable Minister of Higher Education, di sini, baru-baru ini.
Katanya kolaborasi antara universiti dan industri akan mengeratkan lagi hubungan kedua-dua institusi seterusnya dapat melahirkan graduan yang cemerlang dan seimbang.
Untuk program ini, katanya seramai 1,500 pensyarah muda telah memohon, tetapi hanya 50 sahaja yang terpilih.
“Memang mereka ini berpotensi dan telah diberi latihan oleh pihak industri. Mereka adalah pensyarah-pensyarah yang terbaik di universiti dan sememangnya pensyarah yang baik akan ditempatkan ditempat yang baik,” katanya.
Terdahulu, Dr Emma yang ditempatkan di CIMB Group di bawah Dato’ Hamidah Naziadin berkata, pengalaman selama enam bulan adalah pengalaman yang berharga kerana beliau telah mendapat tunjuk ajar daripada mentor bagaimana untuk menjadi ketua yang baik.
“Di CIMB, saya berpeluang mengikuti beberapa program seperti CIMB Mozek, CIMB Young ASEAN Leaders, CIMB Foundation dan CIMB Anniversary Dinner and Celebration. I learn different ways. Dunia industri mempunya asas yang berbeza. How they pitch, how they make a meeting… sebenarnya ini adalah perkara yang perlu pelajar belajar, bukan sahaja pelajar malah pensyarah juga perlu contohinya iaitu di industri mereka membuat keputusan dengan cepat.
“Dalam industri, semuanya adalah berkaitan duit. Jadi, kita kena belajar untuk melakukannya dengan lebih berkesan dalam sistem penyampaian kita,” tambah beliau.
Katanya, beliau berharap untuk siri akan datang lebih ramai lagi pensyarah UKM yang akan diterima menyertai program itu kerana terlalu banyak faedah yang diperolehi daripada industri.
Dr Mohd Helmi yang ditempatkan di PLUS Malaysia Berhad berharap, lebih ramai pensyarah menyertai program CEO@Faculty kerana ia memberi perspektif baru mengenai apa yang berlaku dalam industri dan mengadaptsikan kesan pengetahuan tersebut supaya selari dengan budaya universiti.