Dr Madeline Berma Ahli Majlis Penasihat Dan Perundingan Wanita 2015

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

PUTRAJAYA, 25 Ogos 2015 – Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Madeline Berma telah dipilih sebagai salah seorang ahli Majlis Penasihat dan Perundingan Wanita (MPPW) 2015 sempena Sambutan Hari Wanita 2015 kali ke-53 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini semalam.

Beliau dipilih bersama 17 ahli yang lain termasuk Mantan Naib Canselor UKM, Tan Sri Dato’ Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Dato’ Sri Rohani Abdul Karim sebagai Pengerusi MPPW.

Selain itu, Penyandang Kursi Kepimpinan Wanita di UKM telah diberikan kepada Tan Sri Dr Rafiah Salim.

Semua watikah itu telah disampaikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan disaksikan oleh Dato’ Sri Rohani.

Dalam ucapannya Dato’ Sri Mohd Najib berkata penubuhan majlis itu oleh KPWKM adalah sejajar dengan Dasar Wanita Negara yang telah diperkenalkan sejak 1998 dan pelan Tindakan Pembangunan Wanita.

“MPPW akan bergerak untuk memastikan agenda pemerkasaan wanita selaras dengan hala tuju negara dan hasrat kerajaan bagi menambah baik dasar untuk memartabatkan wanita,” katanya.

Beliau turut menyarankan supaya semua kementerian yang belum melaksanakan aturan kerja anjal agar berbuat demikian sebagai usaha untuk menarik lebih ramai penyertaan wanita dalam pasaran kerja, dan mewujudkan taska untuk anak penjawat awam.

“Saya dimaklumkan bahawa hanya KPWKM dan beberapa kementerian lain yang melaksanakan perkara ini. Saya harap kementerian lain akan melakukan perkara sama. Jika kementerian atau agensi tiada taska, tolong buat kerana ia amat perlu kerana ia bukan sahaja membolehkan wanita menyertai pekerjaan tetapi anak mereka juga mendapat bimbingan dan pendidikan,” katanya.

Sementara itu, Menteri PWKP Dato’ Sri Rohani berharap agar pelantikan ahli MPPW akan dapat menjadi satu platform untuk mengintegrasikan perspektif wanita dalam pelbagai aspek termasuk pakar rujuk penggubalan dasar dan perundangan khusus untuk wanita.

“MPPW akan memainkan peranan sebagai sebuah badan pemikir, pemantau dan penilai kepada kecekapan dan keberkesanan pelaksanaan dasar dan program kerajaan,” katanya.

Antara yang turut hadir pada majlis itu adalah isteri Perdana Menteri Datin Sri Rosmah Mansor dan Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali.ukmnewsportal-bm
4

5

2

3