E-AYVP 2020, Program Komuniti Ketengahkan Kepemimpinan dan Kesukarelawanan Belia ASEAN


Oleh Nastura Nasir

Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 16 November 2020 – Dalam era pandemic wabak COVID-19 yang melanda dunia, ia tidak menjadi penghalang Sekretariat Program Sukarelawan Belia ASEAN (AYVP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bekerjasama dengan Sekretariat ASEAN dan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia untuk menjadi tuan rumah pertama bagi program E-AYVP 2020.

Buat pertama kalinya, E-AYVP telah menghimpunkan seramai 470 belia dari seluruh negara ASEAN termasuk dari tiga negara lain iaitu Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea, dan telah berlangsung bermula 9 hingga 20 November 2020 melalui alam maya.

Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Imran Ho Abdullah berkata, AYVP adalah manifestasi komitmen UKM dalam mempromosikan agenda integrasi ASEAN melalui platform belia serantau dalam menjangkau pemimpin belia.

“Untuk membangunkan 470 Pemimpin Pendidikan Belia ASEAN dengan kecekapan dan kemahiran dalam kepemimpinan belia dan berkongsi nilai-nilai ASEAN melalui semangat kesukarelaan dan penglibatan masyarakat, para sukarelawan diharap akan menyerapkan diri dengan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang akan mereka perolehi, sambil mencari penyelesaian inovatif untuk isu-isu pendidikan di rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican berkata program tersebut merupakan kesempatan untuk menemukan semangat para belia ASEAN dalam merealisasikan tujuan dan membuka potensi mereka untuk mewakili negara sebagai pemimpin masa depan ASEAN.

AYVP adalah platform kesukarelawanan belia yang mewujudkan peluang untuk mendorong pengetahuan, menyokong pertukaran pengalaman belajar, mengembangkan kemampuan, meningkatkan pemahaman lintas budaya, dan menjalin kerjasama serantau disamping membuat perbezaan yang mampan bagi masyarakat di seluruh ASEAN.

Oleh itu, dengan tema “Merancang semula Pendidikan dalam Normal Baharu”, program ini menampilkan lebih dari sembilan webinar dalam talian yang berfokus kepada ASEAN dan enam kelas master bertujuan untuk mengembangkan pemimpin masa depan ASEAN.

Selain itu, pemimpin belia ini juga yang akan memimpin dalam merancang semula pendidikan, terutama dalam keadaan norma baharu, bersama dengan masyarakat setempat.

E-AYVP 2020 berjaya menjangkau lebih dari 2 juta belia ASEAN dan menerima hampir 6,000 permohonan tahun ini.