Electronic Bootcamp Tingkat Minat STEM
Oleh Muhammad Fikri Abdullah
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 11 April 2019- Electronic Bootcamp 2019 yang diadakan baru-baru ini di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mampu memberi keyakinan dan memperkasa minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menurut Ketua Pengarah Program Pemerkasaan Kompetensi Akademik Siswa (PKAS), Dr Kalaivani Chellappan, program tersebut memberi pendedahan dan pengalaman dalam asas elektronik serta kemahiran insaniah dalam persediaan peserta sebelum melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi selain memenuhi keperluan Revolusi Industri 4.0.
“Banyak aduan daripada syarikat berkenaan pekerja kurang mahir. Jadi, kami ingin melatih mereka dalam masa sebulan dengan pendedahan terhadap kemahiran kepimpinan, komunikasi selain memfokuskan kepada STEM.
“Antara pendedahan yang diberikan adalah berkenaan pembuatan produk reka bentuk litar sendiri dan aplikasi dalam telefon yang mana mereka berjaya menghasilkan aplikasi sendiri iaitu membuka dan memadamkan lampu melalui telefon pintar,” katanya.
Sementara itu, salah seorang peserta dari Sekolah Maahad Integrasi Tahfiz Istana Bandar (MITIB), Banting, Amir Najmi berkata, program tersebut membantu meningkatkan kefahaman dalam kursus yang dipelajari dengan lebih baik kerana gabungan teori dan praktikal.
“Sebagai pelajar lepasan SPM, program ini memberi pendedahan awal berkenaan suasana universiti selain membantu saya meningkatkan kemahiran tertentu seperti pematerian dan coding,” ujarnya.
Peserta dari Sekolah Agama Menengah Bestari, USJ 5, Subang Jaya, Amirul Asyraf Zainal Abidin berkata, program tersebut membantu mengaplikasikan teori yang dipelajari semasa SPM secara lebih efektif.
“Jika di sekolah, komponen adalah terhad dan dikongsi ramai, namun di sini saya dapat mengenali komponen secara praktikal dengan baik selain meningkatkan pengetahuan berkenaan kejuruteraan dan cabangnya,” katanya.
Pendedahan yang diberikan dalam program itu adalah berkaitan pematerian, papan litar bercetak (PCB), reka bentuk litar, coding, pembuatan aplikasi dan latihan kepimpinan.
Program selama sebulan yang dianjurankan oleh PKAS adalah melibatkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ia adalah platform pembelajaran berasaskan pengalaman kepada peserta dalam asas elektronik selain memberi pendedahan awal berkaitan bidang-bidang kejuruteraan.