Empat Portfolio Baharu Bagi Kabinet Perwakilan Pelajar UKM Sesi 2015/2016

3
Oleh Asmahanim Amir
Foto Abdul Raai Osman

BANGI, 7 Okt 2015 – Empat portfolio baru telah diperkenalkan oleh Kabinet Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi sesi 2015/2016.

Portfolio-portfolio tersebut adalah Naib Presiden 1, Naib Presiden 2, Naib Presiden 3 dan Naib Presiden 4.

Portfolio Naib Presiden 1 bertanggungjwab bagi menyelaras aktiviti serta membantu persatuan-persatuan fakulti dan kelab berdaftar manakala Naib Presiden 2 diwujudkan bagi memantau segala keperluan persatuan anak negeri.

Naib Presiden 3 pula dipertanggungjawabkan untuk memantau status quo perpaduan antara kaum di UKM serta memantau persatuan-persatuan kaum Cina dan India yang berdaftar manakala portfolio Naib Presiden 4 diberikan kepada MPP dari kampus Cheras dan Kuala Lumpur bagi merangka pembangunan dan menjaga keperluan mahasiswa kampus-kampus itu.

Presiden MPP, Muhammad Farhan Khairuddin berkata empat portfolio itu diwujudkan bagi memberi perhatian kepada perpaduan antara mahasiswa dalam memastikan semangat kekeluargaan dapat disemai sebaiknya dalam kalangan mahasiswa UKM.

“Kepimpinan kali ini adalah kepimpinan baharu yang bersedia membawa perubahan besar kepada mahasiswa serta institusi ini yang berpaksikan kepada misi dan visi universiti yang telah digagaskan.

“Setiap undian yang diberikan oleh mahasiswa akan kami terjemahkan kepada satu perubahan besar yang bakal ditonjolkan kelak,” katanya semasa berucap pada majlis Penyampaian Watikah MPP UKM Sesi 2015/2016 di sini semalam.

Beliau turut memberitahu barisan MPP baharu dalam perancangan membawa mahasiswa UKM menyumbang terus pembangunan universiti seperti Pembukaan Parlimen Mahasiswa UKM serta melancarkan laman aduan mahasiswa iaitu e-ADU.

“Ia dilihat mampu membuka ruang inklusif kepada mahasiswa untuk memberi pandangan serta pendapat secara terus tanpa sekatan dalam membangunkan UKM bersama-sama MPP serta pentadbiran universiti,” katanya.

Dengan slogan Bergerak Bersama Menerajui Wawasan Varsiti, seramai 31 ahli MPP melafaz ikrar di hadapan Naib Canselor, Prof Datuk Noor Azlan Ghazali dan kepimpinan tertinggi UKM bagi menzahirkan setinggi komitmen dalam membantu kepimpinan universiti dalam memacu hala tuju mahasiswa UKM.

Barisan tertinggi yang menerajui kabinet MPP UKM adalah Muhammad Farhan sekalu Presiden, Ikhwan A’zim Ishak sebagai Timbalan Presiden, Mohd Fikri Mohd Jumat (Setiausaha Agung), Anis Syazwani Abd Mubin (Bendahari Agung) dan Zainal Asnawi Asyraf Mohd Ibrahim bertindak sebagai Speaker.

Turut hadir pada majlis itu adalah kesemua Timbalan Naib Canselor, masing-masing  Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal,  Akademik dan Antarabangsa Prof Dato’ Ir Dr Riza Atiq Abdullah O.K Rahmat, Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar, Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dr Imran Ho Abdullah dan kepimpinan tertinggi universiti.ukmnewsportal-bm

2

1