Enam Penyelidik UKM Terima Anugerah Khas Penyelidikan ‘Translational’


Oleh Nur Batrisyia
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 7 Julai 2021 – Seramai enam orang penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima Anugerah Khas Penyelidikan ‘Translational’ pada Majlis Anugerah Kecemerlangan MyRA® 2021 bagi penilaian prestasi 2019.

Penerima anugerah tersebut ialah Prof. Dato’ Dr. Kamaruzzaman Sopian dari Institut Penyelidikan Tenaga Suria. Penerima yang lain ialah Prof. Madya Dr. Goh Choo Ta dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan.

Dari Fakulti Sains dan Teknologi, dua penyelidik menerima anugerah ini iaitu Prof. Madya Dr. Mahanem Mat Noor dan Prof. Madya Dr. Mohd Shahrul Mohd Nadzir.

Dua penyelidik dari Fakulti Perubatan menerima penghargaan tersebut iaitu Mej. Bersekutu (PA) Prof. Madya Dr. Mohd Yazid Bajuri dan Prof. Madya Dr. Tan Toh Leong.

Sebanyak 12 anugerah kategori Pusat Tanggungjawab (PTj) dan 29 anugerah individu daripada pelbagai seksyen dalam MyRA® serta seramai 313 orang penyelidik telah menerima sijil penghargaan.

Naib Canselor, Prof Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, kecemerlangan ini mengambarkan komponen dalam naratif baharu UKM iaitu universiti watan yang digariskan melalui TERAS iaitu Bakat (Talent), Etika (Ethics), Memperkasa (Revitalise), Tangkas (Agile) dan Jiwa (Soul).

“Kecemerlangan ini secara langsung memberikan sumbangan yang amat besar dalam meningkatkan kecemerlangan pendidikan, penyelidikan dan inovasi,” katanya semasa menyampaikan ucapan.

Beliau berkata penerima anugerah kecemerlangan MyRA® akan mendapat merit dalam penilaian prestasi, kenaikan pangkat dan akan mendapat keutamaan dalam pemilihan anugerah lain yang ada di peringkat univerisiti.

“Saya percaya penghargaan dan pengiktirafan ini akan meningkatkan lagi motivasi semua pihak untuk terus menyumbangkan kepada kecemerlangan MyRA® UKM,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ir. Dato’ Dr. Abdul Wahab Mohammad berkata cadangan penganjuran anugerah kecemerlangan MyRA® telah bermula pada tahun 2019.

Pada pertengahan tahun 2020 Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Instrumentasi (CRIM) telah menggerakkan semula usaha ini dengan menguruskan pengumpulan data dan pembuktian pencapaian MyRA.

“CRIM telah membangunkan sistem pemantauan MyRA PTj bagi memudahkan PTj melihat pencapaian MyRA dari semasa ke semasa, dan seterusnya dapat bertindak memastikan perancangan strategi dan pelan tindakan untuk meningkatkan prestasi kecemerlangan penarafan MyRA,” katanya.

Majlis yang diadakan secara dalam talian melalui platform Zoom turut dihadiri oleh pengarah-pengarah pusat di bawah entiti penyelidikan dan inovasi, dekan, pengarah dan semua penerima anugerah.