Fakulti Undang-Undang Disanjung Buka Ruang Khas Aktiviti Pelajar

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 14 Jun 2016 – Fakulti undang-Undang (FUU) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melancarkan Razali Student Lounge (RSL), iaitu ruang  istirahat yang dijadikan sebagai kawasan aktiviti dan komunikasi mahasiswa fakulti itu.

Bilik yang menempatkan ruang mesyuarat, ruang menonton televisyen dan ruang santai menjadi satu set kombinasi yang membolehkan mahasiswa melakukan tugasan akademik, bersantai bersama rakan-rakan dan berbincang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Razali Ibrahim berkata RSL  merupakan ruang santai untuk belajar dan bersosial bagi mahasiswa dan juga perantara bagi menjalinkan kesepaduan antara mahasiswa.

Beliau menganggap ia tempat istirahat yang perlu dimanfaatkan dan dikendalikan dengan betul supaya ia dapat digunakan oleh semua pelajar FUU.

“Tempat itu juga boleh membawa derita dan bencana kalau tak digunakan dengan cara yang sepatutnya,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Razali Student Lounge Fakulti Undang-Undang di sini pada 19 Mei lalu.

Ruang aktiviti itu  diberi nama RSL kerana Dato’ Razali sendiri merupakan penyumbang terbesar dalam membangunkan bilik tersebut.

Dato’ Razali yang merupakan alumni FUU UKM berkata impian untuk memiliki sebuah ruangan santai untuk belajar dan bersosial sesama pelajar cuma dilakar di atas kertas dan hanya perbualan di masa senggang.

“Tetapi kini semua itu telah dapat direalisasikan bersama-sama. I agree that everything start with a dream. Saya Cuma ingin merialisasikan impian tersebut.

“InsyaAllah pada masa hadapan jika masih ada yang perlu ditambah baik untuk ruang tersebut, kita akan cuba bagi penajaan dengan skala yang lebih besar,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Dato’ Noor Aziah Mohd Awal berkata penubuhan RSL yang merupakan idea mahasiswa telah menunjukkan konsep ‘payung merah’ UKM telah disahut dengan penuh bangga untuk menonjolkan diri dengan ciri-ciri yang hebat sebagai seorang mahasiswa.

“Ciri-ciri istimewa ini sangat diperlukan bagi memperkasakan soft skill mahasiswa untuk diaplikasikan dalam aktiviti yang berimpak lebih besar.

“UKM juga menggalakkan usaha seperti ini agar mahasiswa terus maju kehadapan dalam meningkatkan citra UKM sebagai universiti terkemuka dunia,” katanya.

Beliau berharap RSL dapat dimanfaatkan sebagai tempat pembelajaran dan percanggahan fikiran bagi meningkatkan lagi kecemerlangan mahasiswa.ukmnewsportal-bm
3

4

5