FKAB Kongsi Dapatan Kajian Isu Kenderaan Akhir Hayat bersama Pemegang Taruh


Oleh
Ir. Dr. Zambri Harun dan Ahmad Nizam Che Kasim
Foto oleh Ashman Md Annuar

PUTRAJAYA, 9 November 2022  – Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengadakan sesi perkongsian dapatan kajian mengenai Evaluation of Public Readiness for End-of-Life Vehicles (ELV) Implementation atau isu kereta terbiar dan usang bersama pemegang taruh utama.

Sesi perkongsian penyelidikan rentas disiplin itu turut disertai oleh penyelidik dari Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan (FSSK) dan Fakulti Undang-Undang (FUU) serta beberapa agensi lain iaitu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Pengangkutan, Kementerian Wilayah Persekutuan serta Pihak Berkuasa Tempatan Kajang, Klang dan Ampang.

Selain itu,wakil agensi kerajaan seperti Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii) juga turut hadir ke sisi perkongsian yang diadakan di sebuah hotel di Putrajaya.

Menurut Ketua Program Geran Penyelidikan TRGS, Ir. Dr. Zambri Harun, usaha ke arah menyelesaikan isu kereta terbiar dan usang dengan kaedah pelupusan yang teratur adalah melalui adaptasi amalan baik dan kaedah terkini melalui pengenalan projek rintis rawatan automotif berlesen (AATF) yang sedang dijalankan oleh JAS dan KPKT.

“Usaha ini dapat mendatangkan pelbagai kemaslahatan umum, seperti agenda kesihatan awam dalam membasmi serangan demam denggi, masalah kecurian barangan dari kereta terbiar dan usang serta memastikan persekitaran yang baik untuk meningkatkan daya huni penduduk di negara kita.

“Usaha ini adalah seiring dalam rencana peningkatan hasil ekonomi negara melalui jualan alat ganti pasca pasaran (after market) menggunakan kaedah pembuatan semula yang dianggarkan bernilai RM10 bilion menjelang tahun 2030,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ, Dato’ Zailani Hashim menegaskan bahawa advokasi awam (public advocacy) mengenai isu kereta terbiar dan usang adalah penting, berbanding dengan tindakan berbentuk hukuman (penalti ke atas kesalahan yang dilakukan).

Katanya, pendekatan situasi menang-menang bukan sahaja boleh menggalakkan penerimaan baik dalam kalangan masyarakat umum terhadap polisi yang akan diperkenalkan, malah akan memberi kesedaran pemilik kenderaan usang dan terbiar untuk melupuskan kenderaan mereka secara mesra alam.

“Pendekatan sama (advokasi awam) telah dijalankan oleh pihak JPJ melalui kiriman pesanan ringkas (SMS) mengenai status aktif atau tidak aktif kenderaan kepada pemilik oleh Bahagian Pelesenan Kenderaan JPJ.

“Pihak akademia juga perlu berkerjasama erat dengan agensi kerajaan yang lebih maklum di peringkat gerak kerja pengoperasian, untuk memastikan hasil penyelidikan ini dapat direalisasikan,” katanya semasa menyampaikan ucap tama.

Daripada hasil pembentangan para penyelidik selepas mengambil kira beberapa soal selidik yang dijalankan serta sesi libat urus bersama pemegang taruh, pelbagai cadangan telah diusulkan serta dibincangkan.

Antaranya adalah cadangan untuk mewujudkan sistem insentif bagi menggalakkan pelupusan secara sukarela oleh pemilik kenderaan terbiar, pusat sehenti untuk proses pelucutan hak milik kenderaan, menyelaraskan bidang kuasa sedia ada di antara agensi-agensi terbabit dan juga pelaksanaan tempoh wajib pemeriksaan kenderaan untuk memastikan keselamatan kenderaan yang berada di atas jalan raya.

Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah memulakan beberapa inisiatif pengumpulan kereta-kereta terbiar pada awal 2022. Kaedah perundangan itu memerlukan masa yang agak lama iaitu sekurang-kurangnya enam bulan sebelum sesubuah kereta yang telah diberi notis boleh dilupuskan.

Majlis Perbandaran Ampang (MPAJ) pula telah berkongsi pengalaman pengumpulan kereta terbiar, kertas-kertas kerja untuk pelupusan dibuat dengan cermat dan mematuhi undang-undang sedia-ada.

Semua pihak dalam sesi perkongsian itu bersetuju agar amalan terbaik dikongsi kepada semua pemegang taruh agar kebaikannya dapat dirasai di pelbagai peringkat dan negeri lain.