FKAB Rai Dua Profesor Emeritus


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 11 Januari 2023 Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meraikan Prof. Emeritus Dato’ Ir. Dr. Riza Atiq Abdullah Orang Kaya Rahmat dan Prof. Emeritus Dato’ Ir. Dr. Mohd Marzuki Mustafa dalam Majlis Sanjungan Profesor Emeritus FKAB sebagai pengiktirafan di atas jasa dan sumbangan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan di UKM.

Kedua-dua Profesor Emeritus yang diraikan pernah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UKM yang telah memimpin kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran sehingga universiti berjaya memperolehi pelbagai kejayaan gemilang diperingkat antarabangsa dan kebangsaan.

Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada keduanya di atas reputasi yang cemerlang serta sumbangan yang memberi impak kepada masyarakat.

“Kita seharusnya rasa berbangga kerana banyak bakat dan kemimpinan FKAB yang dapat turut sama membantu kemajuan UKM dan sudah pastinya ramai pelapis yang akan dilahirkan untuk memastikan UKM terus gemilang dimasa depan.

“Ramai alumni FKAB yang telah dilahirkan dan kini terus memainkan peranan dalam kemajuan negara dan memimpin dipelbagai sektor awam, korporat, swasta dan usahawan.

“Kegemilangan alumni sangat penting dalam memberikan dan membawa imej kepada kejayaan sesebuah universiti.

“Seharusnya hubungan alumni dan universiti terus diperkukuhkan dengan penganjuran pelbagai aktiviti untuk pembangunan sahsiah mahasiswa, kurikulum akademik dan kebolehpasaran graduan,” katanya.

Dekan FKAB, Prof. Ir. Dr. Mohd Syuhaimi Ab Rahman sebagai Pemidato Umum menyampaikan ucapan jasa pada majlis tersebut, diikuti dengan ucapan balas oleh kedua-dua Profesor Emeritus.

Hadir sama, Profesor Emeritus FKAB, Prof. Emeritus Dr. Che Husna Azhari, Pro Naib Canselor Penjanaan dan Prasarana, Prof. Dr. Norhamidi Mohamed dan Pengarah Institut Selfuel, Prof. Ir. Dr. Siti Kartom Kamaruddin.