Fokus Perbincangan Agama dan Kedamaian Untuk Keharmonian Masyarakat
Oleh Radzuan Ghazali
Gambar oleh Ahmad Shahidan Saidi
BANGI, 26 Oktober 2016 – Masyarakat umum disaran untuk fokus kepada bidang agama dan kedamaian bagi membentuk keharmonian di negara masing-masing.
Hal ini ditegaskan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) UKM, Prof. Dato’ Dr. Imran Ho Abdullah ketika merasmikan Seminar Antarabangsa Agama dan Pembangunan Ke-9 di Dewan Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaaan, UKM, baru-baru ini.
Beliau berkata aktiviti keganasan bukan sahaja berlaku dalam kalangan kumpulan Muslim malah juga dalam kalangan bukan Islam yang mengenepikan soal keharmonian dalam pelbagai perkara.
“Saya dapat rumuskan bahawa agama adalah elemen yang menjadi pembentuk jati diri manusia yang baik malah ia memberikan impak besar kepada keharmonian negara yang kita kecapi selama ini.
“Dengan kedamaian, negara dapat menjana kekuatan yang lebih besar bagi menghadapi ancaman apa sahaja anasir luar yang bertujuan negatif terhadap kedaulatan negara,” ujar beliau.
Hadir sama pada majlis anjuran Jabatan Usuluddin dan Falsafah (JUF), Fakulti Pengajian Islam adalah Dekannya, Prof. Dr. Wan Kamal Mujani, Wakil Rektor II Institut Islam Agama Negeri Ambon, Dr. Ismail DP, Pengerusi JUF FPI UKM, Prof. Madya Dr. Jaffary Awang dan Pengerusi seminar, Prof. Madya Dr. Kamarudin Salleh.
Persidangan dua hari tersebut dihadiri kira-kira 100 orang peserta dari dalam dan luar UKM.