Forum Gesa Pelajaran Etnik Dan Etika Media Sosial Di Sekolah

01
Berita dan Gambar Oleh Saiful Bahri Kamaruddin

KUALA LUMPUR,  19  Dis 2015 –  Sukatan pelajaran menengah perlu  merangkumi Pendidikan Etnik dan amalan sopan santun media sosial bagi meningkatkan kefahaman antara kaum.

Adalah tidak memadai bagi para remaja mempelajari mengenai hubungan etnik di peringkat universiti sahaja, kata peserta-peserta pada suatu forum bertajuk  Memahami Insiden Low Yat: Membendung Api Kemarahan Perkauman, yang dianjurkan oleh Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Mereka  juga bersetuju bahawa penggunaan media sosial perlu diawasi dengan lebih rapi bagi mengelakkan kejadian salah faham dan pergaduhan pada masa hadapan  seperti mana yang terjadi di pasaraya Low Yat, Kuala Lumpur pada bulan Julai lalu.

Seorang anggota panel forum tersebut, Pengarah Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional (IKLIN) Ho Khek Hua yakin bahawa media sosial akan memainkan peranan lebih penting pada masa depan negara ini.

“Di sinilah inovasi sosial memainkan peranan. Kita lihat bahawa ia akan menjadi lebih penting pada masa akan datang.

“Pada masa depan kita akan melihat masyarakat yang didorong oleh media sosial. Setiap isu yang berkaitan dengan rakyat akan dipaparkan pada  media sosial untuk perbahasan,” kata Ho.

Felo Utama KITA Prof Dr Mansor Mohd Noor berpendapat pergaduhan di Low Yat itu sebenarnya dikecam oleh sebahagian besar masyarakat.

“Rata-rata kita orang Malaysia, perasaan dipengaruhi apa yang didapati dalam media social. Hanya 2 hingga 3 % melibatkan pertembungan. 97% dari kita ini damai. Jika ia mencecah 5% ia mungkin menjadi satu masalah.

“Dalam Asia kita menduduki tangga ke-5 dalam Indeks Keamanan Global (Global Peace Index),” kata Prof Mansor

Menurut beliau gejala itu lebih cenderung kepada golongan jurang perbezaan ekonomi dalam bandar.

“Hasutan media sosial dan usaha mempolitikkan kejadian tersebut gagal mempengaruhi rakyat pelbagai etnik lain,” kata beliau.

Ketua jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putera Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Mansor Mohd Noor  berpandangan bahawa kejadian itu sengaja dibesar-besarkan oleh pihak tertentu yang tidak puas hati dengan keadaan ekonomi masa kini.

“Ia bukan isu besar, cuma ia merebak melalui media social yang mencetuskan reaksi kurang menyenangkan. Media sosial harus dipersalahkan bagi membesarkan kejadian perkauman. Ia menjadi lebih genting lagi akibat kesempitan ekonomi dalam masyarakat,” ujar beliau.

Pengerusi forum tersebut Prof Madya Dr Chang Peng Kee berpendirian yang ada sebahagian masyarakat, khasnya remaja, terlalu tergesa-gesa bertindak atau melepaskan kata-kata kesat menyiasat keadaan sebenar.

“Mereka salah gunakan dan membesar-besarkan atau menokok tambah, yang mengakibatkan keadaan menjadi lebih tegang dengan menyebarkan dakwaan-dakwaan,” kata beliau.

Ho, pula berkata perlu ada kemudahan atau pasukan petugas yang menangani dakwaan-dakwaan tersebut secara ‘memadam api’.

“Banyak media sosial memaparkan kenyataan yang kurang tepat, yang dieksploitasikan oleh ahli-ahli politik yang mahu menonjolkan diri sebagai wira,”  tambah beliau.

Namun demikian beliau yakin kejadian seperti ini jarang dilihat dan berlaku secara spontan.ukmnewsportal-bm

02