FSK Hasilkan Aplikasi Telefon Pintar Untuk Bantu Atlet Tingkatkan Amalan Pemakanan
Oleh Izzul Aniq
Foto oleh Izwan Azman
BANGI, 16 Ogos 2018 –Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya menghasilkan aplikasi telefon pintar iaitu Dietscore yang dapat membantu atlet dalam meningkatkan amalan pemakanan sukan.
Aplikasi yang dihasilkan oleh kumpulan penyelidikan di bawah penyelidikan Prof. Madya Dr Nik Shanita Safii mampu memantau keperluan pemakanan para atlet dengan lebih mudah seperti yang di sarankan oleh pegawai dietetik sukan, Institut Sukan Negara (ISN).
Kejayaan tersebut telah membuka peluang kepada UKM untuk menerima geran penyelidikan daripada ISN berjumpah RM90,000 bagi tujuan mengembangkan teknologi untuk membantu atlet dan pakar diet ISN.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, UKM bertanggungjawab memastikan kesemua aktiviti pengajaran, pembelajaran, penyelidikan, perundingan dan pemindahan ilmu serta teknologi menetapi sasaran yang ditetapkan dalam keenam-enam Bidang Keberhasilan Utama (KRA) UKM.
“Hari ini dengan termeterainya Perjanjian Perlesenan (TLA) dan Perjanjian Kolaboratif (CA) ini, UKM berjaya menambah satu lagi pencapaian yang dua bidang KRA tersebut,” katanya semasa Majlis Menandatangani Perjanjian Perlesenan dan Perjanjian Kolaboratif antara UKM dan ISN di sini, baru-baru ini.
Katanya, beliau berharap melalui kolaborasi tersebut, hasil penyelidikan berkualiti dapat dibentuk sebagai produk untuk dipasarkan pada masa akan datang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr. Mohd Khairi Zawi berkata kolaborasi bersama UKM terjalin kerana penyelidikan tersebut adalah selaras dengan keperluan semasa ISN.
“Kemajuan sukan menggunakan teknologi sains merupakan salah satu prioriti ISN. Ini adalah kerana ISN turut mengutamakan Research and Development (R&D) dalam bidang sukan,” ujarnya.
Penyelidikan tersebut dimulakan pada tahun 2016 dengan membangunkan prototaip Dietscore 1.0.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Pengarah Pusat Inovasi Kolaboratif UKM, Prof Dr Nazura Manap.