FSSK Agih 400 Pek Sahur Sempena Ihya Ramadan


Oleh Salleh Sulieman
Foto Arkib FSSK

BANGI, 26 April 2022- Sebanyak 400 pek sahur telah diagihkan kepada pelajar Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) yang tinggal di sembilan buah kolej kediaman di UKM Kampus Bangi, baru-baru ini.

Menurut sumber, program itu dianjurkan oleh Unit KASIH@FSSK dalam usaha menyantuni pelajar fakulti berkenaan sempena ihya Ramadan dengan kolaborasi Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (PMFSSK) di Kolej Keris Mas, UKM Bangi.

Dalam majlis tersebut, setiap pelajar menerima pek makanan kering dan set burger McDonald untuk bersahur.

Selain menerima sumbangan dari warga FSSK dan Alumni melalui Tabung KASIH@FSSK, program ini juga mendapat tajaan pek makanan kering daripada beberapa rakan strategik FSSK yang lain seperti Syarikat De’Xandra, Laila Fabrika Sdn. Bhd., Adab Youth Garage (AYG) dan Institut Onn Jaafar (IOJ).  

Pada tahun 2021 Unit KASIH@FSSK juga telah menjalankan Program Pek Sahur dan kini dijenamakan sebagai Program Pek Sahur KASIH@FSSK 2.0 bagi tahun ini.

Majlis yang diadakan pada 20 April 2022 dan berlangsung pada pukul 10.00 malam ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Dekan Jaringan dan Alumni, Prof. Dr. Sity Daud, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub, Timbalan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UKM, Dr. Hilwa Abdullah @ Mohd Nor.

Selain itu, majlis dihadiri oleh Encik Che Abdullah Che Ya, Penolong Dekan Pelajar dan Alumni, Dr. Mohd Nasir Selamat, Penolong Dekan Pengajaran dan CITRA, Dr. Ezarina Zakaria, Penolong Dekan Kualiti dan Strategi, Dr. Noremy Md. Akhir, Penyelaras Unit KASIH@FSSK, Dr Muhammad Adnan Pitchan, Penyelaras Alumni, Dr Azlan Abas, Penyelaras Strategi FSSK, Encik Mohd Nazmi Rahmat, Pegawai Sekretariat Jaringan dan Alumni FSSK serta Encik Nasrun Alias, wakil pensyarah FSSK.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa FSSK, Tengku Syuhada Elissa Binti Tengku Adam Azli bersama 32 pelajar FSSK yang terlibat sebagai sukarelawan dalam melancarkan program tersebut.