FSSK Bantu Pasangan OKU Mangsa Banjir
Oleh: Fakulti Sains Sosial (FSSK)
BANGI, 4 Januari – Fakulti Sains Sosial (FSSK) UKM menggerakkan misi membantu mangsa banjir dengan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir yang juga merupakan pasangan orang kurang upaya (OKU) di Sg. Sekamat, Kajang, Disember lalu.
Misi tersebut digerakkan oleh Unit KASIH@FSSK bersama Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia (PsiTra) dengan kerjasama Unit Perkhidmatan dan Sokongan OKU UKM dengan penglibatan dua buah NGO iaitu Adab Youth Garage (AYG) dan Islamic Relief Malaysia (IRM).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pasangan ini juga menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM400 bagi membantu mengurangkan kesempitan yang dihadapi.
Selain itu, pasangan ini menerima sumbangan berbentuk barang-barang kebersihan diri seperti barang mandian, sabun dan keperluan rumah yang lain seperti dapur gas, microwave, cerek elektrik dan sebagainya.
Adab Youth Garage (AYG) juga menyumbang barang keperluan makanan kering, barangan keperluan harian, peralatan pembersihan diri serta pakaian bagi meringankan beban pasangan tersebut.
Manakala Islamic Relief Malaysia (IRM) pula turut menyampaikan sumbangan kain pelikat, kain batik, tudung dan baju untuk pasangan OKU tersebut.
Selain itu, kakitangan Unit Perkhidmatan dan Sokongan OKU (UPSOKU) juga turun padang bagi menjalankan kerja-kerja membersih serta mengemas rumah pasangan OKU berkenaan yang terjejas teruk akibat banjir.