Generasi Muda Tulang Belakang Negara – Datuk Dr Yap Kain Ching
Oleh Nadia Sapuan
Foto Abd Raai Osman
BANGI, 19 April 2017 – Generasi muda adalah komponen terpenting kerana mereka adalah tulang belakang negara kita, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Yap Kain Ching @ Mary Yap Ken Jin.
Beliau berkata masa hadapan negara terletak di tangan generasi muda di mana mereka akan memegang peranan penting dalam membangunkan negara.
“Anda (generasi muda) memegang peranan penting dalam pembangunan negara pada masa akan datang dan sebab itu Kementerian Pendidikan Tinggi meletakkan penghasilan pelajar yang holistik dan seimbang di samping memiliki kemahiran keusahawan yang baik sebagai komponen pertama dalam strategi lautan biru,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Asean Young Entrepreneurs Challenge 2017 (AYE Challenge 2017), di UKM, baru-baru ini.
“AYE Challenge 2017 adalah sebuah landasan yang baik bagi anda semua untuk mempelajari, berkongsi dan memahami cabaran masa akan datang sinonim dengan semangat ASEAN iaitu we dare to dream and we dare to share,” katanya.
Katanya melalui program itu, pelajar yang terlibat bukan sahaja dapat memperolehi ilmu keusahawanan tetapi juga turut memperolehi ilmu kepimpinan yang harus ada dalam diri seorang pelajar.
“Saya percaya suatu hari nanti anda semua akan menjadi seorang pemimpin yang dinamik di negara anda.
“Oleh itu, ambil dan gunakan ilmu yang anda dapat sepanjang program ini dengan sebaiknya-baiknya,” katanya.
Beliau turut menasihatkan peserta program tersebut untuk belajar, berkongsi dan membuat jaringan hubungan bersama rakan-rakan dari negara dan universiti lain agar proses perkongsian ilmu sentiasa berterusan dan tidak terhenti.
Sebanyak tujuh buah negara yang terdiri daripada Malaysia, Indonesia, Myanmar, Brunei, Thailand, Filipina dan Vietnam menyertai program AYE Challenge 2017 yang bertujuan untuk memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar di samping membuat jaringan hubungan dalam kalangan universiti di ASEAN.