Geran Penyelidikan RM54 Juta Untuk UKM Tahun 2015

01
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 21 Dis 2015 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menerima geran penyelidikan berjumlah RM54 juta untuk tempoh Januari hingga November 2015 yang melibatkan 693 projek penyelidikan.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata geran tersebut diperoleh melalui pelbagai sumber seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pendidikan Tinggi, pihak swasta dan agensi luar negara.

“Pembiayaan dana penyelidikan ini telah banyak membantu dalam meningkatkan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) penyelidikan UKM,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis Kongres Penyelidikan dan Inovasi UKM 2015 dan Pelancaran Buku Penyelidikan UKM di sini pada 7 Disember lepas.

Beliau berkata kepakaran dan hasil penyelidikan UKM diharap dapat menyumbang secara tekal kepada pembangunan ekonomi dan social melalui ekosistem yang dapat memupuk penemuan inovasi, penyebaran dan penggunaan ilmu.

Katanya pembangunan modal insan juga amat penting kerana proses pengembangan, penggunaan ilmu dan inovasi bernilai tinggi.

“Antaranya strategi yang telah dirancang adalah dengan menarik pelajar cemerlang untuk mengikuti program siswazah dan meningkatkan kemahiran kepimpinan penyelidikan dan perundingan siswazah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar pada majlis Pelancaran Buku Penyelidikan UKM berkata buku tersebut dilancarkan sempena dengan tahun ke-10 UKM memegang status sebagai Universiti Penyelidikan.

“Gagasan universiti penyelidikan ini sudah tentu sangat istimewa untuk negara kita kerana harapan pihak berkepentingan di luar sana. Para akademia perlu memenuhi tuntutan akademik seperti membuat penyelidikan, menulis tesis, meneribitkan buku dan jurnal dan apa-apa sahaja ilmu serta modifikasi baru,” katanya.

Beliau berkata dalam tempoh 10 tahun UKM sebagai Universiti Penyelidikan, beberapa inisiatif telah membawa pelbagai disiplin ilmu dan pelbagai jenis penyelidikan di UKM telah berjaya membawa makna dengan meningkatkan tahap sosio-ekonomi komuniti tertentu.

“Contohnya kita jajarkan usaha kita yang digalakkan oleh UNESCO (United Nations Education, Scientific Culture Organisation), yang mempunyai pendidikan, sains dan kebudayaan. Ia perlu dilakukan dengan seimbang antara semua aspek,” jelasnya.

Katanya, dalam tempoh 45 tahun penubuhan UKM, penyelidik sentiasa berinteraksi dengan UNESCO dan tiga inisiatif yang paling terserlah adalah Global Geopark Langkawi, Tasik Chini dan Lembah Langat.

“Ketiga-tiga penyelidikan ini mempunyai hasrat yang sama iaitu meningkatkan tahap sosio ekonomi masyarakat yang berada di sekeliling kawasan itu bagi meningkatkan budaya serta tarikan pelancongan,” katanya.

Program satu hari tersebut turut dimuatkan dengan aktiviti yang berbeza dengan mengetengahkan kretiviti dari sudut yang berbeza dengan menggabungkan ikon-ikon cemerlang dalam penyelidikan di atas satu pentas bicara tuntas yang melibatkan beberapa Institusi Pengajian Tinggi.

Turut hadir pada majlis tersebut Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah dan pengurusan tertinggi universiti.ukmnewsportal-bm
02

03

04