Geran RM1 Juta Kepada Pelajar UKM Yang Bekerja

01
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 27 Jan 2016 – Yayasan Sime Darby (YSD) menyediakan geran akademik bernilai RM1 juta kepada pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dipilih untuk bekerja melalui program Pembelajaran Sambil Bekerja iaitu Experience Work.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah berkata geran akademik itu adalah berbeza daripada konsep biasiswa atau pinjaman pendidikan yang lain kerana pelajar tidak akan terus menerima geran akademik yang disediakan oleh YSD.

“Sebaliknya mereka (pelajar) perlu bekerja untuknya. They need to work for it. Bayaran kepada pelajar adalah dalam bentuk gaji yang dibayar pada kadar RM15 sejam.

“Wang yang diperolehi oleh pelajar adalah hasil dari titik peluh mereka bekerja dan membantu mereka membiayai yuran pengajian dan kos sara hidup sewaktu di universiti,” katanya pada majlis Penyerahan Surat Tawaran Program Belajar Sambil Bekerja Experience Work UKM-YSD di sini pada 15 Jan lepas.

Beliau berkata pelatih akan bekerja selepas waktu kuliah atau semasa cuti semester dan kebanyakan mereka sudah biasa menjalankan data mining, menulis minit mesyuarat, membuat liputan dan penulisan rencana acara universiti.

“Selain itu, mereka juga perlu membuat panggilan telefon kepada rakan industri fakulti dan menyediakan laporan berdasarkan analisa data kebolehpasaran graduan.

“Pelatih juga perlu menguasai kaedah pembentangan terkini seperti Pretzi, mahir menggunakan excel spreadsheet, dapat membahagikan masa dengan baik, berdiplomasi sewaktu bercakap dengan wakil pengurusan universiti, boleh berinteraksi dengan yakin dalam Bahasa Inggeris dengan pihak industri dan sebagainya,” katanya.

Prof Imran berkata pada masa ini, seramai 25 pelajar telah dipilih sejak Mei 2013 termasuk tujuh orang pada tahun ini.

“Tempoh penajaan adalah selama empat tahun. Penajaan ini adalah hasrat YSD yang mahu membantu pelajar yang mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang tetapi datang dari keluarga berpendapatan rendah.

“Mereka akan digilap bagaikan berlian supaya lebih menyerlah dan dapat mengharumkan nama universiti serta negara apabila mereka menceburi dunia pekerjaan kelak,” katanya.

Pelatih yang menerima geran akademik itu perlu bekerja tidak melebihi 20 jam seminggu dan apabila tiba cuti semester, mereka perlu bekerja tidak lebih 40 jam seminggu.

Untuk tempoh sebulan, mereka akan menerima maksimum sebanyak RM800.

Program tersebut ditadbir oleh Pejabat Hubungan Industri dan di bawah penyeliaan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Industri dan Jaringan Masyarakat.ukmnewsportal-bm
02

03

04