GIM Johor Jadi Wadah Perkongsian Mahasiswa Johor Seluruh Negara


Oleh Mohamad Arif Haziq Mohamad Musri
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 19 Februari 2020 – Gerbang Idealis Mahasiswa (GIM) Johor 2020 yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi wadah perkongsian idea mahasiswa anak Johor dari pelbagai Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara.

Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dato’ Ir Dr Othman A. Karim berkata, program yang berkonsepkan intelektual itu bukan sahaja menjadi wadah perkongsian idea tetapi ia juga adalah satu nilai tambah kepada mahasiswa anak Johor bukan sahaja di UKM, malahan di seluruh IPT.

Beliau amat berbangga buat julung kalinya Persatuan Mahasiswa Anak Johor (PERMAJ) UKM berjaya menganjurkan program seperti itu dengan kerjasama kerajaan Negeri Johor.

“Melalui persatuan ini (PERMAJ), saya berharap ia mampu melahirkan lebih ramai pemimpin dalam kalangan mahasiswa anak Johor bagi menerajui generasi akan datang dan menyambung kepemimpinan pada masa hadapan.

“Saya juga berharap persatuan ini bukan sahaja dapat berbakti kepada masyarakat di negeri Johor, malahan turut berkhidmat kepada setiap komuniti masyarakat di Malaysia,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penutupan GIM Johor 2020 di Persada Canselori, Bangunan Pentadbiran di sini.

Beliau mengharapkan melalui kejayaan PERMAJ, lebih ramai lagi mahasiswa yang seimbang dari segi akademik, badan beruniform dan kepimpinan dapat dilahirkan.

Sementara itu, menurut Menteri Besar Johor, Dr Sahrudin Jamal, penganjuran program tersebut adalah salah satu platform yang terbaik kepada pembangunan mahasiswa Johor.

“Untuk makluman, Kerajaan Negeri Johor amat menyokong program-program sebegini bagi membentuk mahasiswa Johor yang berkemampuan memimpin dan menjadi modal insan kelas pertama sebagai rujukan kepada masyarakat dan kesinambungan kepimpinan masa hadapan.

“Melihat kepada kejayaan dan sambutan yang sangat baik daripada mahasiswa anak Johor seluruh Malaysia pada hari ini, selaku Menteri Besar, saya berjanji akan memberikan sokongan dana untuk segala aktiviti yang melibatkan kepimpinan negeri Johor supaya ia terus dekat dengan hati mahasiswa,” kata beliau.

Majlis penutup program itu turut dihadirir oleh Pengurus Besar Yayasan Pelajaran Johor, Mahadon Marnin dan Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof Dato’ Ir Dr Mohd Marzuki Mustafa.