Glaukoma, Penyakit Kebutaan Senyap


Oleh Nadia Sapuan
Foto Abd Raai Osman

CHERAS, 31 Mac 2017 – Glaukoma boleh menyebabkan kebutaan yang kekal pada mata yang dikenali sebagai pencuri kebutaan senyap.

Ketua Jabatan Oftalmologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Madya Dr Jemaima Che Hamzah berkata penyakit glaukoma digelar sebagai penyakit kebutaan senyap disebabkan oleh tiada simptom awal yang boleh dikenalpasti sekiranya pesakit menghidap penyakit ini.

“Kebiasaannya, pesakit yang menghidap glaukoma tidak menyedari mereka sebenarnya menghidap penyakit ini.

“Oleh itu saya mengalakkan anda semua untuk kerap membuat pemeriksaan saraf mata secara berkala,” katanya pada Majlis Perasmian Sambutan Minggu Glaukoma Sedunia 2017, baru-baru ini.

Beliau berkata kadar pesakit yang menghidap penyakit glaukoma di seluruh dunia dijangka meningkat sehingga 76 juta pada tahun 2020.

“Pada tahun 2016, kadar pesakit yang menghidap glaukoma adalah sebanyak 60 juta dan dijangka terus meningkat dari tahun ke tahun,”katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Datuk Dr Imran Ho Abdullah berkata UKM akan sentiasa mendukung penganjuran aktiviti kemasyarakatan seperti yang dianjurkan oleh Jabatan Oftamologi PPUKM ini.

“UKM sentiasa mendukung penganjuran aktiviti sebegini kerana dapat meningkatkan pengetahuan dan kesedaran orang awam khususnya warga UKM tentang penyakit-penyakit mata,” katanya.