Graduan Jangan Letakkan Had dalam Pemilihan Pekerjaan
Oleh Asmahanim Amir
BANGI, 28 Oktober 2020 – Para graduan terutamanya graduan baru yang sedang mencari pekerjaan dinasihatkan supaya tidak meletakkan had dalam pemilihan pekerjaan bagi mengelakkan mereka tidak dipilih bekerja di syarikat-syarikan yang memerlukan pekerja.
Naib Presiden Bahagian Sumber Manusia Etiqa Group of Companies, Nazurudeen Meerah Ghani berkata graduan yang meletakkan limit dalam memilih pekerjaan akan menghalang diri dari berada di pasaran.
“Jangan letakkan limitasi seperti masa bekerja, tangga gaji, jarak perjalanan ke tempat kerja, persekitaran pekerjaan – tidak mahu bekerja jauh dari rumah ini sebagai alasan semasa ditemu duga. Limitasi ini akan membuatkan anda sukar diterima di sesebuah syarikat,” katanya.
Beliau berkata tidak semua orang yang berjaya terus mendapat pekerjaan yang diingini.
Bercerita tentang perjalanan kerjayanya, katanya beliau menamatkan pengajian sarjana muda pada tahun 1998, iaitu tahun negara bergelut dengan krisis ekonomi, sama seperti keadaan sekarang.
“Masa tu sangat sukar untuk graduan baharu mendapatkan pekerjaan, sama seperti keadaan sekarang yang kita perlu berhadapan dengan pandemic COVID-19. Bagi mendapatkan duit poket, saya menggunakan keputusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) untuk bekerja sebagai operator di sebuah kilang. Inilah permulaan pekerjaan saya.
“Jadi, saya ingin ingatkan kepada semua graduan dan bakal graduan untuk mencuba dahulu apa sahaja jenis pekerjaan yang ada dan dalam masa yang sama mencari peluang lain dalam mendapatkan pekerjaan yang diminati.
“Bila anda bekerja bagus dan pasaran sentiasa bercakap tentang anda, tahu tentang kredibiliti anda, ada syarikat lain pula yang akan menawarkan pekerjaan yang lebih bagus dan gaji yang lumayan kepada anda,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Forum Webinar Career Talk bertajuk Graduate Employability & Competency: An Industrial Perspective.
Nazurudeen juga turut menyelar dakwaan bahawa graduan baharu sukar mendapat pekerjaan kerana tidak mempunyai pengalaman.
“Ini adalah tidak tepat kerana kebanyakan syarikat akan mengambil graduan baharu untuk menyertai syarikat mereka kerana graduan baharu mempunyai semangat dan bercita-cita tinggi.
“Dalam kes saya, kebanyakan staf saya adalah mereka yang muda dan fresh graduate. Saya memberi peluang kepada orang muda sebab saya percaya dengan kredibiliti mereka,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Abdul Wahid Omar memesan kepada para graduan untuk belajar bersungguh-sungguh dan mendapatkan keputusan yang cemerlang bagi memudahkan para majikan memilih mereka (graduan cemerlang) kerana pada asasnya kelayakan yang tinggi dan pencapaian akademik yang tinggi akan dijadikan ukuran dalam memilih pekerja.
“Apabila sudah menjawat sesuatu jawatan itu, pastikan kita fokus kepada tugas masa dan buat yang terbaik supaya kita dapat melaksanakan tugas itu dengan baik sehingga kita berjaya. Jika kita fokus, insyaAllah reputasi kita akan mendahului kita.
“Berdasarkan reputasi yang bagus, orang akan kenal kita dan melalui itu kita akan mula ditawarkan dengan jawatan-jawatan yang lain yang lebih baik dari jawatan yang kita sandang sekarang,” katanya.
Beliau turut menasihatkan para graduan supaya tidak melupakan ibu bapa dan pendidik yang telah berjuang kepada kejayaan graduan dan sentiasa memanjatkan kesyukuran kepada Yang Maha Esa atas segala rezeki yang dilimpahkan.