Graduan Perlu Sesuaikan Diri dengan Kerjaya Baharu
Berita dan foto oleh Farah A’lia
BANGI, 25 Jun 2021 – Pandemik Covid-19 telah memberi kesan terhadap ekonomi dan pasaran buruh, menyebabkan para graduan perlu menyesuaikan diri dengan kerjaya baharu.
Justeru, graduan perlu mengubah fikiran dengan tidak meletakkan pekerjaan yang bakal diperolehi adalah sama dengan bidang pengajian yang diambil, kata Pengerusi dan Pensyarah Pusat Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salleh Amat.
Beliau berkata dalam keadaan norma baharu sekarang, para graduan tidak lagi bekerja mengikut bidang yang diambil.
“Ini yang disebut sebagai kemampuan beradaptasi atau menyesuaikan diri dengan keadaan (kerjaya) baharu.
“Kita boleh mengatasi cabaran menyesuaikan diri ini dengan menjadikan hobi sebagai kerjaya baharu,” katanya semasa menjadi ahli panel Program Bicara Alumni bertajuk Hala Tuju Kerjaya di Musim Pandemik Covid-19, semalam.
Katanya, para graduan boleh menjadikan hobi sebagai keistimewaan untuk mencipta dan mencari pekerjaan seperti penjualan produk makanan.
Sementara itu, pensyarah Program Kaunseling, Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Edris Aden, turut bersetuju dengan kenyataan Prof. Madya Dr. Salleh.
Beliau menyeru supaya para graduan dapat menyesuaikan diri dan berfikir positif terhadap kesan pandemik COVID-19 yang melanda dunia.
“Apabila munculnya pandemik ini, para graduan dapat beradaptasi dengan peralihan teknologi yang kini menjadi medium utama dalam pekerjaan.
“Jadi, graduan perlu merebut peluang pekerjaan yang ada demi kelangsungan hidup,” katanya yang juga merupakan alumni Fakulti Pendidikan UKM.
Program yang menghimpunkan pelajar-pelajar dan alumni UKM ini diadakan secara dalam talian melalui aplikasi Zoom dan Facebook Fakulti Pendidikan. Program ini juga adalah anjuran bersama antara Fakulti Pendidikan dengan Pusat Perhubungan Alumni UKM.