GSMP dan UKM-GLP Beri Pelajar Asing Pendedahan tentang Malaysia
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
BANGI, 4 Ogos 2016 – Program Global Student Mobility (GSMP) dan UKM Global Leadership Programme (UKM-GLP) akan memberi pendedahan, kepada peserta, tentang budaya dan alam semula jadi Malaysia, kata Naib Canselor, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali.
Beliau berkata pelajar yang datang dari pelbagai negara seperti Taiwan, Thailand, Bangladesh, China, Indonesia, Korea, Mexico dan Filipina boleh meneroka budaya, bangsa dan kecantikan Malaysia melalui program tersebut.
“UKM berbangga menjadi tuan rumah kepada dua program ini. Dengan tema Building Bridges of International Understanding and Friendship, anda (pelajar) perlu memilih dua kursus sama ada Indigenous Communities of Malaysia (ICM) atau Sustainability of Tropical Heritage (STH),” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam GSMP dan UKM-GLP di sini baru-baru ini.
Program itu akan meneroka isu-isu berkaitan dengan kepimpinan dan kepelbagaian budaya dalam era globalisasi.
Katanya, beliau positif bahawa pelajar akan mendapat peluang untuk memperoleh pengetahuan baru dan membangunkan kemahiran tersebut seiring dengan pendedahan komunikasi antarabudaya bersama peserta dari negara lain.
“Anda akan mendapat nilai tambah atas perkara standard lain yang anda dapat apabila anda menamatkan pengajian nanti. Inilah yang ditawarkan dalam program mobility — kemahiran dan pengalaman,” katanya.
Sementara itu, pelajar dari Mexico, Paula Roxana Reyes Perez, 20, berkata beliau sangat teruja menyertai semua aktiviti yang akan diadakan.
“Saya begitu teruja untuk meneroka Malaysia, yang merupakan negara yang mempunyai pelbagai bangsa, agama dan kecantikan alam semula jadi.
“Saya juga mahu belajar Bahasa Melayu, Bahasa Cina dan kepelbagaian budaya di Malaysia. Semua ini telah membuatkan Malaysia sangat unik dan berbeza dari negara lain,” katanya.
Supissara Boon-in, 20, dari Thailand yang memilih UKM-GLP berkata ini adalah kali pertama beliau ke Kuala Lumpur.
“Sebelum ini saya pernah ke Langkawi bagi menghadiri satu program beberapa tahun lalu. Sekarang saya datang ke Kuala Lumpur untuk menyertai program kepimpinan kerana bagi saya kepimpinan adalah sangat penting dalam membina organisasi.
“Saya memilih GLP kerana saya mahu mempersiapkan diri saya sebagai pemimpin yang bagus. Saya bercita-cita untuk menjadi seorang saintis, tetapi saya sangat lemah dalam kemahiran berkomuniasi. Jadi, ini adalah peluang bagi saya untuk meningkatkan diri tentang komunikasi dan kemahiran kepimpinan,” katanya.
Beliau berkata, apabila beliau berada di sini, selain dari belajar tentang kepimpinan, beliau juga akan mengambil peluang ini untuk mengenali budaya Malaysia.