Guru Murrabi Bukan Hanya Untuk Guru Pendidikan Islam Sahaja


Oleh Asmahanim Amir
Foto Abdul Raai Osman

BANGI, 27 Januari 2017 – Guru berjiwa murrabi bukan hanya jolokan kepada guru pendidikan Islam semata-mata tetapi setiap guru lain juga boleh berjiwa murrabi jika mereka mengajar dengan penuh jiwa dan niat untuk melahirkan manusia yang baik, kata Rektor Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Prof. Dato’ Dr. Ab. Halim Tamuri.

Beliau berkata dalam pendidikan, ia tidak menyatakan bahawa hanya guru agama sahaja yang dapat membentuk pelajar untuk menjadi pelajar yang baik.

“Kenapa kita perlu letakkan konsep itu (guru murrabi) kepada guru agama sahaja? Guru kimia, sukan, matematik dan guru-guru lain juga sama-sama membentuk manusia untuk menjadi manusia yang baik dan soleh dan mereka juga boleh dianggap sebagai guru berjiwa murrabi,” katanya ketika menyampaikan syarahan Wacana Hadhari, anjuran Institut Islam Hadhari UKM, bertajuk Membangun Guru Berjiwa Murrabi, baru-baru ini.

Katanya guru murrabi adalah guru yang menjaga, membesarkan, mencurah kasih sayang, mendidik, mengajar, menyubur dan memelihara fitrah para pelajar serta memupuk bakat dan kebolehan yang wujud dalam diri agar dapat berkembang dengan baik selaras dengan kematangan yang dilalui oleh para pelajar.

Beliau berkata pengetua, pentadbir, guru dan kakitangan sekolah mesti berkembang membantu dalam melahirkan insan yang baik.

Tambahnya, terdapat beberapa cadangan yang boleh digunakan dalam melahirkan guru berjiwa murrabi iaitu perlu mengaktifkan usrah guru, pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan masjid atau surau, perlu memaksimumkan kerja lapangan dalam masyarakat, dan membangunkan modul guru murrabi di setiap sekolah dan daerah.

“Guru perlu menjaga imej dan perlu mempunyai sahsiah dan personaliti yang unggul dalam membentuk personaliti dan imej pelajar,” katanya.

Prof. Dr. Ab. Halim berkata dalam membangun guru berjiwa murrabi, para guru perlu menerapkan unsur-unsur ketauhidan, menerapkan nilai-nilai kemanusiaan, menyahkan nilai-nilai bukan Islam dan menghormati idea dan potensi pelajar.