Hampir 50,000 Individu Divaksin di Empat Lokasi


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

TAIPING, 23 Ogos 2021 – Hampir 50,000 individu di empat lokasi telah menerima vaksin melalui Program Unit Bergerak Vaksinasi Berkelompok Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Pusat Pemberian Vaksin Bergerak (PPVB) Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak Jun lepas.

Program yang bermula sejak 3 Jun itu telah menjelajah ke Parit Sulong, Johor, Seri Menanti, Jempol dan Paroi di Negeri Sembilan dan kini di Taiping, Perak.

Naib Canselor, Prof Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata PPVB HCTM digerakkan bagi membantu kerajaan mempercepatkan imunisasi kelompok di kawasan-kawasan tersebut.

“Pemilihan lokasi ini sebenarnya agak unik kerana kita melihat dari segi data yang kita dapat. Contohnya kawasan ini (Taiping) dipilih setelah melihat kepada jumlah penerima vaksin sedia ada yang agak rendah.

“Di lain-lain kawasan pula kita lihat penerima vaksin di kawasan luar bandar kerana mereka ini susah nak mendapat capaian, jadi unit bergerak inilah kita gunakan untuk capai mereka seperti yang ada masalah kesihatan dan terlantar di rumah,” katanya semasa lawatan di PPVB HCTM di Dewan Majlis Perbandaran Taiping, Kamunting, di sini.

Beliau berkata selepas Taiping, program tersebut akan bergerak ke Pagoh, Johor sebelum kembali ke Perak iaitu di Bagan Datuk seterusnya ke Nibong Tebal dan Balik Pulau di Pulau Pinang.

Menurutnya, seramai 30 hingga 35 petugas terdiri daripada jururawat dan doktor dari HCTM selain sukarelawan tempatan terlibat dalam pengoperasian unit bergerak tersebut.

Hadir sama pada lawatan itu ialah Ahli Lembaga Pengarah UKM, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shafie.