Hampir 700 Peserta Sertai Larian Kanser UMBI 2017


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 7 Mei 2017 – Hampir 700 peserta menyertai Larian Kanser UMBI 2017 bagi memberi kesedaran kepada masyarakat akan kepentingan pencegahan awal penyakit kanser.

Larian yang julung kali diadakan itu juga turut memperkenalkan peranan Institut Perubatan Molekul UKM (UMBI) kepada masyarakat sebagai sebuah institusi yang giat menjalankan penyelidikan perubatan terhadap penyakit kanser.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata penganjuran larian itu juga adalah untuk mengumpul dana bagi menampung kos saringan kanser untuk semua lapisan masyarakat.

“Kanser adalah penyakit yang boleh membawa maut, namun ia masih boleh dicegah dan sebahagiannya mampu disembuhkan.

“Kesedaran komuniti sangat penting dan masyarakat perlu sedar bahawa penyakit kanser sebenarnya boleh dicegah dan dielak melalui ujian saringan awal serta perubahan ke arah gaya hidup sihat,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada program tersebut.

Beliau yang turut menyertai larian itu berharap dana yang terkumpul melalui Larian Kanser UMBI dapat menjadikan saringan kanser mampu dibiayai oleh semua lapisan masyarakat.

Seramai 125 peserta telah mengambil cabaran bagi kategori terbuka 10km dan selebihnya menyertai kategori fun run 5km.

Turut menyertai larian tersebut adalah Pengarah UMBI, Prof Datuk Dr A Rahman A Jamal, Pengarah Eksekutif Pentadbiran, Abd Razak Hussin dan Pengarah Eksekutif Kewangan, Khalijah Bakar.

Bagi kategori terbuka 10km lelaki, tempat pertama dimenangi oleh Benson Kariuki dgn catatan masa 32:39 saat, tempat kedua adalah Paul Kipkirui dengan catatan masa 33 minit manakala tempat ketiga disandang oleh Azhar Mat Amin dengan catatan masa 43:13 saat.

Untuk kategori terbuka 10km wanita, johan disandang oleh Chepkosgei Shieys dengan catatan masa 39:54 saat, naib johan dimenangi oleh Susan Jemutai dengan masa 39:52 saat dan tempat ketiga adalah Danielle Nant dengan masa 46:50 saat.