HCTM Terima Sumbangan Zakat dari MAIWP Hampir RM4 Juta Sejak 2002
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahidan Saidi
CHERAS, 6 Jun 2018 – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Kampus Kuala Lumpur, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menerima sumbangan zakat dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bernilai hampir RM4 juta sejak tahun 2002.
Ketua Jabatan Kerja Sosial Perubatan HCTM UKM, Suraiyah Harun berkata sumbangan zakat tersebut diberikan kepada pesakit Islam yang menerima rawatan di HCTM.
“Untuk tahun ini, kita menerima sebanyak RM200,000 daripada MAIWP dan sumbangan itu akan disalurkan ke Tabung Kebajikan Pesakit,” katanya.
Beliau berkata, pihak hospital akan memberi keutamaan kepada pesakit yang tinggal di sekitar Wilayah Persekutuan sahaja.
“Walau bagaimanapun, kita juga akan mempertimbangkan pemberian dana tersebut kepada pesakit di luar Wilayah Persekutuan untuk kegunaan segera (urgent case),” jelasnya.
Suraiyah berkata, jumlah maksimum yang akan diberikan kepada pesakit adalah RM15,000.
“Sejak tahun 2002 hingga sekarang, sebanyak 1,237 pesakit telah menerima sumbangan ini bagi menampung kos perubatan mereka di sini.
“Pesakit tidak perlu risau jika tidak mampu untuk membayar kos rawatan kerana ada banyak saluran yang boleh mereka mohon untuk meringankan bebanan tersebut,” katanya.
Katanya, proses untuk mendapatkan bantuan sumbangan wang tersebut tidak mengambil masa yang lama.
“Mereka yang tidak mampu untuk membayar kos rawatan akan dirujuk ke sini (Jabatan Kerja Sosial Perubatan) oleh doktor yang merawat.
“Jawatankuasa tabung yang dipengerusikan oleh Pengarah HCTM akan memberi kelulusan segera jika kes yang dirujuk itu adalah kes urgent,” jelasnya.