HCTM Yang Pertama di Asia Tenggara Guna UCPFlex


Oleh Mohamad Arif Haziq Mohamad Musri
Foto Ikhwan Hashim

CHERAS, 12 Mei 2020 – Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HTCM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah hospital yang pertama di Asia Tenggara menggunakan teknologi Ultrasound Cyclo Plasty (UCPFlex) dalam merawat pesakit glaukoma.

UCPFlex ialah teknologi yang menggunakan Ultrasound tertumpu yang berintensiti tinggi untuk mengawal dan memusnahkan badan siliari di mata.

Menurut Pakar Oftalmologi HTCM, Prof. Madya Dr. Jemaima Che Hamzah, teknologi tersebut memberi kesan sampingan yang kurang berbanding rawatan yang digunakan sebelum ini iaitu surgeri dan rawatan laser Cyclodiode.

“UCPFlex juga mempunyai kadar penyembuhan yang lebih pantas berbanding rawatan-rawatan lain. Teknologi ini memberi pilihan kepada pesakit untuk memilih rawatan yang mereka kehendaki.

“Setakat ini (Mac 2020), kita telah mencuba rawatan ini kepada lapan orang pesakit di sini (HTCM), dan kesemuanya menunjukkan hasil yang baik,” kata Prof. Madya Dr. Jemaima.

Teknologi tersebut telah dibawa masuk ke Asia Tenggara oleh sebuah syarikat pembekal teknologi rawatan mata, Excimed Sdn. Bhd.

“Kita memilih HTCM kerana pelbagai sebab, antaranya UKM amat menggalakkan penyelidikan dan penggunaan teknologi baru.

“Dr. Jemaima juga merupakan antara doktor yang pakar dalam rawatan glaukoma dan turut dipandang tinggi oleh doktor yang lain,” kata Pengarah Excimed, Gideon Lim.

Tambahnya lagi, teknologi itu bakal diperkenalkan kepada hospital yang lain setelah kejayaan rawatan di HTCM.