Hotel Puri Pujangga Tawar Pakej Menarik


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 12 Ogos 2020 – Bagi mereka yang mengunjungi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta ingin bermalam di UKM dipelawa menggunakan kemudahan yang sedia ada ditawarkan iaitu Hotel Puri Pujangga (HPP), terletak berhampiran dengan Stadium UKM.

HPP – anak syarikat UKM Holdings kini menawarkan pakej yang menarik kepada warga UKM dan juga masyarakat luar sempena pembukaan semula hotel tersebut yang ditutup sementara bermula 1 Jun 2020 hingga 31 Julai lepas akibat kesan penularan wabak COVID-19.

Pengerusi UKM Holings, Dato’ Mohd Hatar Ismail berkata, walaupun terdapat beberapa hotel di Kuala Lumpur, Melaka, Ipoh dan Pulau Pinang yang ditutup sepenuhnya akibat pandemik tersebut, UKM Holdings mengambil langkah untuk membuka hotel itu lebih awal berbanding perancangan asalnya iaitu pada bulan Disember nanti. 

“Kita dapat menerima kembali pelanggan-pelanggan bagi mengadakan seminar dan pelbagai acara di sini. Sempena pembukaan semula ini, kita juga membuat beberapa promosi pakej perkahwinan, seminar dan sebagainya,” katanya sewaktu menyampaikan ucapan pada Majlis Pembukaan Semula HPP dan Hari Terbuka Kumpulan UKM Holdings di sini.

Beliau berkata, dengan mengambil kira pasaran penutupan sementara hotel di sekitar Bangi dan juga kelonggaran yang diberikan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), HPP telah membuka pintu kepada para pelanggan bermula 3 Ogos yang lepas. 

“Saya juga dimaklumkan bahawa aktiviti, acara dan banquet telah berjalan sepanjang Ogos, namun lebih banyak seminar dan mesyuarat terutamanya jabatan dan fakulti di bawah UKM akan diadakan mulai minggu ini dan minggu-minggu seterusnya,” katanya.

Selaras dengan pembukaan semula HPP, kumpulan UKM Holdings telah menyusun pelbagai pakej dan promosi bagi menarik minat orang ramai untuk memilih hotel tersebut sebagai lokasi pilihan sama ada untuk majlis-majlis sosial, kenduri kendara, majlis berskala kecil seperti reunion, aktiviti perhimpunan keluarga dan juga majlis-majlis rasmi yang lain.

“Pihak kami berharap dengan adanya pakej dan promosi yang menarik, ia akan dapat memberi manfaat kepada pengunjung dengan kos keseluruhan yang lebih rendah dan hotel ini akan terus menjadi pilihan utama masyarakat dan dapat menarik lebih ramai pelanggan terutamanya di luar UKM untuk memilih HPP sebagai lokasi yang majlis,” katanya.

Pembukaan semula Hotel Puri Pujangga telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (TNC) Akademik dan Antarabangsa, Prof Dato’ Ir Dr Mohd Marzuki Mustafa. Turut hadir ialah TNC Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dato’ Ir Dr Abdul Wahab Muhammad dan TNC Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah.