Hubungan Pendidikan antara Malaysia dan United Kingdom Tidak Terjejas Akibat Brexit – Datuk Noor Azlan Ghazali
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 26 Julai 2016 – Hubungan pendidikan antara Malaysia dan United Kingdom (UK) tidak akan terjejas walaupun negara itu telah membuat keputusan untuk keluar dari Kesatuan Eropah (EU).
Demikian menurut Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dalam sidang media Brexit 2016 di sini pada baru-baru ini.
Beliau berkata dalam perspektif Malaysia, hubungan antara universiti awam di Malaysia terutamanya UKM dengan universiti di UK tidak terjejas.
“Walaubagaimanapun, saya menjangkakan beberapa penyesuaian harus dilakukan bagi penyelidikan yang menerima dana daripada EU, yang mana penyumbang utamanya adalah daripada UK,” jelasnya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Dr Sufian Jusoh berkata hubungan pendidikan antara UK dan EU adalah berbeza.
“Untuk kita (Malaysia), kita tidak perlu risau hubungan dua hala dari segi pendidikan antara Malaysia dan universiti-universiti di UK, tetapi yang menjadi isu adalah berkenaan dengan hubungan universiti di UK dengan pelajar dari EU.
“Adakah akan terdapat perbezaan bayaran, dari segi pergerakan pelajar EU ke UK dan UK ke EU. Dari konteks Malaysia, saya tidak nampak masalah yang timbul apabila UK membuat keputusan untuk keluar dari EU,” terangnya.
Turut hadir pada sidang media itu adalah Felo Utama Pusat Siswazah Perniagaan, Prof Datuk Dr John Anthony Xavier, Pengarah IKMAS, Prof Dr Rashila Ramli dan Pensyarah Sains Politik, Abdul Muein Abadi.