Ikrar Pelajar Baharu ASASIpintar Janji kepada UKM


Oleh Radzuan Ghazali
Foto Muhamad Izwan Azman

BANGI, 5 Ogos 2020 – Seramai 114 pelajar baharu ASASIpintar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memulakan Sesi Pengajian Akademik 2020/2021 dengan melafazkan ikrar tanda bermulanya sebagai warga UKM dalam satu majlis ringkas di Auditorium Permata Genius di Kampus Induk di sini petang ini.

Majlis bacaan ikrar itu dihadiri Timbalan Naib Canselor, Hal-ehwal Pelajar, Prof Dato’ Ir Dr Othman A. Karim selain Pengarah Pusat Genius, Prof Madya Dr Rolynda Yusof dan pengurusan.

Jumlah berkenaan adalah sebahagian daripada 324 calon pelajar yang diterima oleh Pusat Permata Genius bagi sesi kali ini. Pada 17 dan 18 Ogos, seramai 104 calon lagi akan mendaftar untuk mengikuti program yang sama untuk sesi kali ini.

Terdahulu, Prof Dato’ Dr Othman dalam ucapannya mahukan pelajar menyesuaikan diri dengan persekitaran universiti dengan kaedah pembelajaran secara talian memandangkan UKM telah lama mengamalkan kaedah seumpama ini yang diperluaskan konsep pembelajarannya khususnya aliran sains sosial menggunakan kaedah pembelajaran atas talian 100 peratus.

Katanya, semua pensyarah di UKM menggunakan pengalaman masing-masing dan penyelidikan dengan mengambil kira persekitaran menyediakan pengalaman pembelajaran atas talian yang sesuai dan bermakna bagi pelajar pra-universiti.

“Saya berharap pelajar menggunakan kemudahan teknologi yang ada bagi meningkatkan pengetahuan dengan mengekalkan momentum pelajar sepanjang di universiti dan  kehidupan sehari-harian.

Pelajar asasi pintar wajar tidak mensia-siakan peluang yang diberikan malah perlu mengambil berat semua kursus yang diambil di Permata Genius bagi persediaan ke arah pelajar yang berilmu, berfikiran terbuka, berdaya tahan dan bersesuaian dengan keperluan ketika mengikuti program Ijazah Sarjana muda di UKM nanti”, ujar beliau.

Beliau menegaskan, ikrar kali ini adalah satu janji dan ingatan pelajar kepada UKM untuk memastikan kecemerlangan dalam semua bidang yang diceburi sepanjang menjadi pelajar UKM.