IMT-GT UNINET STEM Fokus pada Lanjutan Paradigma Pendidikan


Oleh Inaara Aznan
Foto Ikhwan Hashim 

BANGI, 12 Disember 2018 – Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) UNINET STEM adalah platform yang akan mengubah sistem pendidikan kini menjadi paradigma pendidikan yang lebih maju, khususnya bagi sub-rantau Indonesia, Malaysia dan Thailand.

Mesyuarat pertama IMT-GT UNINET STEM telah diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – Graduate School of Business (UKM-GSB), membincangkan langkah-langkah strategik dalam sektor pendidikan dan bagaimana untuk meningkatkan STEM di negara mereka.

STEM adalah kurikulum berdasarkan idea mendidik pelajar dalam empat bidang tertentu iaitu sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik dalam pendekatan antara disiplin dan diterapkan.

Daripada mengajar, sebagai subjek yang berasingan, STEM menggabungkan mereka (pendidik) menjadi paradigma pembelajaran yang bersatu padu berdasarkan aplikasi dunia nyata.

Beberapa wilayah dan negeri di ketiga-tiga negara tersebuti adalah kawasan paling kurang maju di negara-negara dan sub-rantau secara keseluruhannya dengan memanfaatkan komitmen dan kelebihan perbandingan negara anggota.

Presiden IMT-GT UNINET STEM, Prof Dato’ Dr Noraini Idris berkata, misi mereka adalah untuk menjamin pembangunan ekonomi dan sosial berasaskan pengetahuan mampan melalui kerjasama strategik dan inklusif projek antara akademia, sektor swasta dan kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat di sub-rantau IMT-GT

“Kami berharap agar dapat bekerjasama untuk mencapai misi ini,” katanya.

Sementara itu, Canselor Universiti Syiah Kuala, Indonesia, Prof Dr Ir Samsul Rizal menjelaskan, jika semua pensyarah dan pelajar di semua universiti berkolaborasi, mutu pendidikan akan sama dan akan lebih maju.

“Selain itu, ketiga-tiga negara yang bergabung dengan IMT-GT UNINET juga akan memperkenalkan pakar dari kampus mereka untuk berkongsi idea dan maklumat untuk memacu potensi di wilayah masing-masing,” katanya.

Dalam mesyuarat itu, terdapat wakil dari Universiti Teknologi Mara, Universiti Selangor, Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Tunku Abdul Razak, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia serta universiti lain dari Thailand dan Indonesia.

IMT-GT telah ditubuhkan pada tahun 1995. Ia menyediakan rangka kerja serantau untuk mempercepat transformasi ekonomi wilayah dan negara anggotanya di tiga negara.