Industri 4.0: Kerajaan Sediakan Kursus Kemahiran yang Sesuai Melalui Program TVET
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
PUTRAJAYA, 26 Dis 2017 – Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyediakan kursus kemahiran yang sesuai melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk berhadapan Industri Revolusi Keempat (4IR).
Ketua Setiausaha KSM, Dato’ Dr Mohd Ghazali Abas, yang menyampaikan ucapan Menteri Sumber Manusia berkata persiapan yang dibuat bukan sahaja kepada belia untuk pasaran buruh masa depan, tetapi juga menyediakan modal insan untuk pembinaan negara.
“Oleh itu, kita menggalakkan penyediaan TVET yang sesuai dengan standard kemahiran dan kurikulum terkini untuk memastikan 4IR difahami dan dipelajari dengan baik,” katanya pada majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan 4IR Skills Development: Road Map to the Future (NC4IR-VET), di sini, baru-baru ini.
Persidangan itu adalah kerjasama antara Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Jabatan Pembanguan Kemahiran, KSM.
Beliau berkata, suatu masa dahulu, TVET dianggap sebagai pilihan terakhir dalam pendidikan dan pemilihan kerjaya disebabkan oleh persepsi orang ramai bahawa kursus itu adalah untuk mereka yang tidak cemerlang dalam akademik.
“Keadaan ini berubah apabila kerajaan di seluruh dunia semakin mengiktiraf kepentingan kualitatif teknikal dan vokasional untuk menyokong ekonomi negara, dengan negara-negara maju yang mempunyai bilangan pelajar yang lebih tinggi dalam aliran vokasional dan teknikal,” katanya.
Beliau berkata penubuhan TVET di Malaysia yang diselaraskan oleh KSM adalah keputusan yang tepat.
“Selari dengan TVET Malaysia, saya melihat persidangan ini sebagai sumbangan ke arah pembangunan modal insan yang berjaya.
“Industri 4.0 dan teknologi baru yang lain pastinya menjadi agenda penting untuk mengekalkan daya saing di peringkat global,” tambah beliau.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UKM, Prof Dr Hj. Mohd Ekhwan Toriman berkata objektif utama persidangan itu adalah untuk menganalpasti corak industri dan keperluan pekerjaan dalam era 4IR.
“Kita mahu melahirkan pekerjaan yang sesuai dengan era 4IR dan TVET menjadi agenda yang penting, begitu juga kursus STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik),” katanya.