Inovasi ORI@UKM Bawa UKM ke Persada Antarabangsa

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Abdul Raai Osman

BANGI, 21 Sept 2015 – Ciptaan dan inovasi daripada kaedah e-pembelajaran Open Resource Initiative (ORI@UKM) yang dibangunkan oleh kakitangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah membawa universiti ini ke persada antarabangsa.

Dengan tagline ORIginal Contributions from UKM to the world, atau Sumbangan Asli dari UKM Kepada Duni, kepakaran penyelidikan dan inovasi UKM terutamanya sumber pengajaran dan pembelajaran (P&P) dapat dikongsikan bersama khalayak dunia.

Menurut Pengarah Pusat Pengajaran dan Teknologi Pembelajaran (Pengajaran-UKM), Prof Dr Mohamed Amin Embi, terdapat dua kategori sumber penyelidikan yang dikongsikan oleh ahli akademik UKM, iaitu penerbitan ilmiah dan sumber P&P.

“Dengan strategi dan pendekatan yang betul, sumbangan-sumbangan ini bukan sahaja dapat memberi manfaat yang besar kepada masyarakat malah dapat meningkatkan imej UKM di persada antarabangsa,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis Pelancaran ORI@UKM, Massive Open Online Course (MOOC) Fasa 2 dan iTunes U UKM di sini pada 14 September lepas.

Beliau berkata untuk fasa ini, Pengajaran-UKM telah menerbitkan 15 judul e-buku Web 2.0 dalam versi Bahasa Inggeris dan 10 judul dalam Bahasa Melayu sebagai Sumber Pendidikan Terbuka (OER).

“Sehingga kini, bahan-bahan itu telah diakses oleh lebih 1.5 juta pendidik, pelajar dan ibu bapa dari seluruh dunia.

“E-buku Web 2.0 Presentation Tools pula telah merekodkan lebih 60,000 pembaca dalam tempoh lapan bulan dengan pembaca paling ramai adalah dari Amerika Syarikat, Perancis, Itali dan Sepanyol,” katanya.

Katanya sekitar bulan Mac yang lalu, buku-buku itu juga telah menjadi viral dengan 20,000 bacaan sehari dengan kandungan e-buku tersebut memperincikan tentang bagaimana persembahan P&P dapat dijadikan dengan lebih berkesan dan sesuai dengan generasi Z, iaitu mereka yang lahir pada alaf baru.

Selain itu, beliau berkata bagi program MOOC Fasa 2, lebih 400 peserta dari 45 negara telah mendaftar bagi mengikuti kursus itu selepas empat minggu dibuka bermula 15 Ogos.

“Ini merupakan strategi pemasaran yang amat menarik bagi memperkenalkan UKM di persada antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata untuk program iTunes U, UKM merupakan universiti penyelidikan pertama yang memilih iTunes sebagai platform bagi memenuhi hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Melalui perkongsian pintar dengan pihak Apple Education Malaysia, 10 Syarahan Perdana yang terpilih boleh diakses oleh khalayak dunia. Selain itu, beberapa kursus di Fakulti Pengajian Islam juga boleh dicapai dengan menggunakan iPad dan iPhone melalui platform iTunes U,” jelasnya.

Sementara itu, Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dalam ucapan perasmiannya berharap agar UKM dapat meningkatkan profil kepada khalayak dunia melalui aplikasi teknologi maklumat terkini maya dan seterusnya memberi impak terus kepada masyarakat umum serta menonjolkan sumbangan UKM kepada masyarakat dunia.

“Saya berharap agar warga UKM akan terus berinovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran agar UKM sentiasa releven bagi menghadapi abad ke-21,” tambah beliau.ukmnewsportal-bm
2

3

4

5