Insititut IR4.0 Pamer Hasil Seni Artis Academy Of Fine Arts, Poland


Oleh Nur Aisyah Mohamed Rizal
Foto Izwan Azman

BANGI, 7 September 2022 – Insititut IR4.0, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mempamerkan hasil seni artis dari Academy of Fine Arts Gdansk, Poland di Akademi Siber Teknopolis, UKM yang mengetengahkan landskap alam semulajadi.

Pameran yang bertemakan “Looking for Identity. Cultural and Natural Heritage of Polish and Landscapes” adalah pameran ketiga dalam siri pameran seni hasil kerjasama kumpulan Digit Collective dari Insititut IR4.0 dan Academy of Fine Arts di  Gdansk, Poland.

Pameran yang pertama telah diadakan pada Januari 2022 di Poland dengan tema ‘Breathing the Waves’ manakala pameran kedua ‘The Ways of the Heart’ dipamerkan di Universiti Putra Malaysia pada Februari 2022.

Pro Naib Canselor Strategi dan Pembangunan Korporat, Prof. Dr. Roslee Rajikan berkata pameran kali ini mempamerkan empat set hasil seni fotografi daripada empat orang artis di Academy of Fine Arts, Poland.

“Pameran ini memfokuskan kepada idea kawasan serantau, dan bagaimana landskap alam semulajadi dan landskap budaya menjadi isu utama dalam wacana antara artis dan saintis,” katanya di Majlis Perasmian Pameran Looking for Identity : Cultural and Naturalheritage of Polish Landscapes,  di sini.

Beliau berkata idea utama pameran itu adalah mengetengahkan landskap tempatan yang menjadi forum sebenar untuk komuniti mencapai wawasan secara demokratik bagi mengupas isu perubahan landskap akibat aktiviti manusia, dan bagaimana manusia sendiri yang mampu membentuk landskap yang lebih harmoni dengan alam.

Pada majlis itu, beliau meluahkan penghargaan bagi pihak UKM kepada Kedutaan Republik Poland di Kuala Lumpur dan pihak Universiti Putra Malaysia, atas sokongan yang diberikan untuk pameran tersebut.

Pameran itu mempamerkan hasil kajian projek Learning Landscapes, iaitu sebuah kajian di bawah Program Erasmus+. Program ini adalah program tajaan European Union, yang melibatkan kerjasama antara negara Poland, Slovakia, Croatia, Germany dan Netherlands.

Objektif program adalah untuk menyampaikan hasil dan dapatan dari kajian kepada warga UKM dan masyarakat umum melalui pameran seni selain mendedahkan warga UKM dan masyarakat umum tentang kebudayaan di Poland sebagai satu refleksi kepada budaya, tradisi dan sejarah Malaysia dan menjalin jaringan kerjasama profesional antara institusi pengajian di Poland dan Malaysia berserta dengan universiti lain di Malaysia.

Majlis turut dihadir oleh Timbalan Ketua Misi, Kedutaan Republik Poland di Kuala Lumpur; Mr. Dominik Malek dan Pegawai Hal Ehwal Kebudayaan, Kedutaan Republik Poland di Kuala Lumpur, Cik Jo Anna E. Jurczyga.