Inspirasi Alumni UKM Bakar Semangat Mahasiswa untuk Tidak Berputus Asa
Oleh Siti Farwani Muhamad
BANGI, 1 April 2019 – Program Inspirasi Alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) oleh Alumni Tersohor UKM yang diadakan baru-baru ini telah menampilkan Pengarah Eksekutif Equinetech Plus Sdn Bhd dan Tropical Position Sdn Bhd, Datuk Chong Boon Weng bagi berkongsi pengalaman dan kejayaan beliau dalam industri.
Dalam ucapannya, beliau memberikan kata-kata semangat kepada mahasiswa agar tidak berputus asa dalam setiap tindakan yang dilakukan sepanjang bergelar pelajar di UKM.
Beliau turut menekankan beberapa aspek penting seperti pengurusan masa, pengurusan wang tunai dan juga pengurusan stress.
“You don’t have to be the top scorer, as long as you reach the finale line and education is a process of growing old. Contribute 20 to 30 percent to the cause of your success,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhubungan ALUMNI-UKM, Ir Dr Nazrul Anuar Nayan berkata, UKM amat berbangga kerana mempunyai alumni yang tersohor seperti Datuk Chong dan berterima kasih kerana beliau (Datuk Chong Boon Wai) sudi untuk berkongsi buah fikiran dan idea kepada mahasiswa.
Program Inspirasi Alumni UKM oleh Alumni Tersohor UKM ini adalah platfom untuk para alumni berkongsi pengalaman dan kejayaan mereka dalam industri kepada mahasiswa.
Program tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Eksekutif GOOD FENG SHUI® Geomantic Research Corporation, Encik Kenny Hoo dan Pengarah Pusat Pembangunan Karier, Prof Madya Dr Chang Peng Kee.