Institusi Islam Hadhari UKM Anjur Seminar Wanita dan Haji 2021
Oleh Nur Batrisyia
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 29 Julai 2021 – Institusi Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Seminar Wanita dan Haji (2021) yang bertemakan Ibadah Haji Wanita: Isu dan Cabaran.
Seminar itu yang dirasmikan oleh Pengarah Institusi Islam Hadhari, Prof. Dr. Fariza Md Sham bertujuan untuk menyediakan ruang kepada para penyelidik bagi mengupas isu-isu berkaitan ibadah haji khasnya bagi jemaah wanita.
“Pelaksanaan ibadah haji adalah suatu perjalanan rohani dalam mencari keberkatan ilahi bagi mencapai ganjaran atau haji yang makbul.
“Proses ini tentunya tidak menjanjikan perjalanan mudah terutamanya bagi jemaah wanita yang sentiasa berdepan dengan cabaran dan risiko dari segi emosi, mental, dan fizikal,” kata Prof. Dr. Fariza semasa menyampaikan ucapan.
Beliau berkata Seminar Wanita dan Haji 2021 adalah perbincangan ilmiah bagi memperkasakan aktiviti penyelidikan dan perkembangan dalam bidang peradaban Islam, khususnya dalam isu-isu yang berkaitan dengan pengurusan dan ibadah haji.
“saya berharap dengan penganjuran seminar ini, ia akan memberi pendedahan yang lebih meluas tentang isu dan cabaran yang sering dihadapi oleh wanita dalam menjalani ibadah haji,” katanya.
Sebanyak 17 kertas pembentangan dibentangkan yang melibatkan peserta dari dalam dan luar UKM. Antara topik yang dikupaskan ialah masalah penyusuan ibu pada jemaah wanita, masalah kesihatan jemaah wanita dan aspek kesihatan mental dan fizikal wanita dalam jemaah haji.
Seminar yang diadakan secara dalam talian melalui platform Zoom itu telah dihadiri oleh Pengarah Eksekutif Haji, Lembaga Tabung Haji, Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman Mufadhal dan Timbalan Mufti Selangor, Sahibus Samahan Dato’ Dr. Anhar Opir yang menyampaikan ucaptama pada seminar tersebut.