Institut Sel Fuel Jadi Pelopor Pengeluaran Hidrogen Pembebasan Sifar
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 30 Julai 2021 – Institut Sel Fuel, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi pelopor dalam pengeluaran hidrogen pembebasan sifar selepas menjalin kerjasama strategik dengan Pusat Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).
Kerjasama itu melibatkan perkongsian kepakaran berkaitan bidang teknologi hidrogen dan sel bahan bakar serta memberi pendedahan untuk pelbagai bidang penyelidikan di UKM.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata UKM sentiasa terbuka dalam memberi peluang untuk menyumbang kepakaran dalam bidang teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.
“MGTC adalah pemangkin utama penyebaran teknologi hijau di negara ini, memacu negara dalam bidang Pertumbuhan Hijau, Mitigasi Perubahan Iklim, dan Gaya Hidup Hijau.
“Perjanjian dengan MGTC melalui Institut Sel Fuel menunjukkan keyakinan dan kepercayaan terhadap kemampuan UKM untuk berkolaborasi dalam pembangunan industri hidrogen dan sel bahan bakar,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dan MGTC, semalam.
Beliau berkata seiring dengan kemajuan ekonomi hidrogen global, MoU antara kedua-dua institusi itu juga akan memudahkan inisiatif ekonomi hidrogen secara berpatutan dan mesra alam, serta menyokong promosi aplikasi tenaga hidrogen.
“Oleh itu, kerjasama ini bukan sahaja dapat merealisasikan visi ekonomi hidrogen negara, tetapi juga memberi peluang kepada para penyelidik dan pakar dari MGTC dan UKM untuk berkongsi pengetahuan dalam memacu inisiatif ekonomi hidrogen terkehadapan,” katanya.
Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan berharap melalui MoU itu, UKM akan menjadi rakan strategik utama industri bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D), tidak hanya dalam bidang teknologi hidrogen dan sel bahan bakar, tetapi juga dalam bidang yang relevan yang ditawarkan oleh fakulti dan institusi penyelidikan di UKM.
“Kerjasama dengan MGTC akan memberikan faedah jangka panjang dan mengeratkan hubungan antara UKM dan MGTC pada masa akan datang.
“UKM akan melakukan yang terbaik untuk memastikan kejayaan MoU ini dan mudah-mudahan usaha ini akan menjadi contoh bagi industri lain untuk bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi dalam perkongsian penyelidikan untuk kepentingan negara,” kata beliau.
Sementara itu, Pengerusi MGTC, Prof. Dato’ Ir. Dr. A. Bakar Jaafar berkata beliau berharap kerjasama itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dari segi pemindahan pengetahuan dan teknologi, pembangunan perubahan iklim dan ekosistem hidrogen dengan asas pendidikan yang berpotensi tinggi di semua sektor ekonomi terutama di Malaysia dan di rantau ini.
MoU itu telah ditandatangai oleh Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj Toriman dan Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Ts. Shamsul Bahar Mohd Nor. Majlis menandatangani MoU ini disaksikan oleh Penagrah Institut Sel Fuel UKM, Prof. Ir. Dr. Siti Kartom Kamarudin dan Pengerusi MGTC, Prof. Dato’ Ir. Dr. A. Bakar Jaafar.