Islam Arus Perdana Yang Terbaik Bagi Malaysia: Kata Sarjana Islam

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

Mainstream Islam The Best For Malaysia, Says Islamic Scholar1BANGI, 9 Januari 2015 – Umat Islam Malaysia, khususnya di Institusi Pengajian Tinggi (IPTA) tidak harus mudah terpengaruh dengan pelbagai pergerakan yang dianggap liberal dari luar negara yang kini semakin kuat di negara jiran.

Profesor Ulung Tan Sri Dr Muhammad Kamal Hassan dari International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berkata Malaysia mengambil langkah yang baik mengikuti jalan Islam Arus Perdana.

Ketika menyampaikan syarahan umum di bicara persada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini Prof Muhammad Kamal menasihati ummah supaya tidak mudah terpedaya menerima falsafah yang menyamakan semua agama dengan Islam.

Beliau berkata: “semua agama di Malaysia harus berusaha mematahkan radikalisme and extremism. Penggunaan akal dan pemikiran rasional adalah bukan bertujuan untuk merosakkan agama tetapi mengukuhkan aqidah.”

“Mereka yang menggunakan akal untuk kebaikan boleh disamakan dengan wahyu. Akal itu ciptaan Tuhan. Wahyu itu datang dari Tuhan. Apa yang tidak betul, ialah mendewa-dewakan akal,” katanya berucap atas tajuk ‘Menangani Cabaran Pemikiran Jaringan Islam Liberal’.

Prof Muhammad Kamal berkata gerakan Islam liberal dipengaruhi barat yang mempunyai agenda mahu memecah-belahkan ummah dengan memberikan banyak label.

“Barat berhasrat mahukan umat Islam berfikir mengikut acuan mereka di mana wujudnya gerakan pelbagai fahaman seperti Sufi, tidak mahu bertolak ansur, sekular, sederhana, suka damai, pelampau, ganas dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata Islam arus perdana yang ditentukan oleh pemerintah perlu diperkukuhkan dan diikuti. “Umat Islam perlu bersifat merangkumi semua, itu tidak sama dengan liberalisme. Islam adalah tegas dan tidak berkompromi dengan akidah,” kata beliau.

Beliau juga menegur golongan Islam liberal di Malaysia yang berusaha mendapatkan bantuan daripada pemimpin negara lain untuk menekankan pemerintah supaya lebih terbuka mengenai Islam.

“Ada di kalangan mereka yang mahukan Barak Obama (Presiden Amerika Syarikat) mengkritik kerajaan terhadap pendiriannya mengenai Islam ketika lawatannya ke Malaysia baru-baru ini.”

Prof Muhammad Kamal, yang banyak membuat kajian di Indonesia dan berkenalan baik dengan para ulama di negara itu membandingkan keadaan di sana.

“Universiti dan IPTA kita masih tidak tunduk kepada desakan liberalisme, tetapi di Indonesia sudah ada. Iran telah menawar Indonesia membina masjid besar di atas pusara Wali Songgoh dan menteri agama Indonesia baru-baru ini telah bersetuju,” kata beliau.

Di Indonesia apa yang digelar jaringan Islam liberal amat berpengaruh hinggakan memberi kesan kepada pemerintah.

Pancasila adalah falsafah asas yang rasmi bagi Indonesia yang meletakkan semua agama yang dianuti dalam negara tersebut sebagai sama.

Prof Muhammad Kamal telah banyak berbincang dengan pemikir-pemikir islam di Indonesia yang beliau menganggap sekular, di antaranya mantan presiden Indonesia Abdurrachman Wahid dan Jeneral Ali Murtopo.

Gerakan reformasi di Indonesia selepas Presiden Suharto berundur telah membebaskan suasana hinggakan banyak pergerakan Islam muncul dan menjalankan kegiatan berdakwah dan berhujah dengan pelbagai jenis ajaran.

Di antara fahaman mereka ialah agama adalah urusan peribadi, orang bukan Islam boleh kekalkan status apabila kahwin dengan umat Islam dan semua agama adalah sama.

Di Indonesia fatwa yang dikeluarkan oleh jabatan tertinggi Islam di negara itu – majlis Agama Indonesia – telah mengharamkan jaringan Islam liberal namun ia tidak boleh dikuatkuasakan.

Turut hadir di syarahan ini Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni)  Prof Ir Dr Reza Atiq Abdullah OK Rahmat . Ia di anjurkan bersama oleh jabatan Canselori, Fakulti Pengajian Islam, Institut Islam Hadhari dan UKM Pakarunding.
ukmnewsportal-bm