Jabatan OMFS PPUKM Guna Teknologi NAS Bedah Rahang


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 19 April 2017 – Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia melalui Jabatan Bedah Mulut dan Maksilofasial (OMFS) telah berjaya melakukan pembedahan rekontruksi rahang dengan bantuan navigasi berkomputer atau Navigation Assisted Surgery (NAS) bagi membuang ketumbuhan pada rahang atau tulang kraniofasial.

Pakar Bedah Mulut dan Maksilofasial, Prof Madya Dr Mohd Nazimi Abd Jabar berkata pesakit yang mempunyai ketumbuhan pada rahang atau tulang kraniofasial kebanyakannya perlu menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan tersebut dan itu menyebabkan kecacatan atau deformasi pada struktur muka, rahang dan fungsi pesakit.

“Teknik pembedahan rekonstruksi dengan pembedahan free-flap (pembedahan tisu fibula) bukan perkara baru di negara kita dan ditawarkan di kebanyakkan hospital utama.

“Tetapi, Jabatan OMFS UKM merupakan antara pelopor utama di Malaysia yang melakukan pembedahan rekonstruksi rahang untuk kes ketumbuhan yang menggunakan gabungan teknik pembedahan rekonstruksi free-flap, perancangan pembedahan berasaskan komputer dan teknik pembedahan navigasi komputer,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Beliau berkata pembedahan pertama yang diketuai oleh Prof Peng Xin yang merupakan Prof Adjung UKM dari Peking Universiti School of Stomatology telah berjaya dijalankan pada 29 Jun 2016 dan sehingga kini PPUKM telah berjaya menjalankan tiga pembedahan dan hasilnya adalah sangat memuaskan.

“Pembedahan ini melibatkan perancangan yang lebih kompleks dan rapi kerana ia menggabungkan analisa terperinci ketumbuhan atau deformasi rahang, teknologi cetakan 3-dimensi dan penggabungan data dan imej ke dalam system navigasi komputer.

“Hal ini untuk memastikan hasil perancangan pembedahan dipindahkan secara tepat sewaktu pembedahan sebenar,” terangnya.

Dr Mohd Nazimi berkata sewaktu pembedahan, rahang pesakit dipotong dan dikeluarkan.

“Bagi rekonstruksi muka dan rahang pesakit, ia perlu diganti dengan tulang fibula kaki atau tulang pinggul yang dibentuk menjadi rahang.

“Walaupun tulang di bahagian lain diambil, tetapi ia tidak akan menyebabkan pesakit mengalami kecacatan malah tempoh pemulihan untuk semua pembedahan itu hanya mengambil masa tiga bulan,” terangnya.

Katanya, walaupun teknik ini memerlukan kos keseluruhan kira-kira RM30,000, tetapi ia dapat mengurangkan masa keseluruhan pembedahan dan hasil aestetik dan fungsinya lebih baik berbanding teknik konvensional.

Sementara itu, Prof Peng Xin berkata beliau berbangga kerana teknologi itu telah dibawa ke Malaysia.

“Saya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Jabatan OMFS UKM dan gembira ketiga-tiga pembedahan itu berjaya sehingga mencapai pemulihan yang sangat memuaskan.

“Dengan adanya teknologi ini, ia mampu memenuhi permintaan aestetik dan pemulihan ke tahap yang optimum dalam kalangan pesakit,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang pesakit, Caroline Wong, 28, yang melakukan pembedahan membuang ketumbuhan rahang berkata beliau memilih Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) kerana yakin dengan teknologi NAS yang digunakan.

“Pada mulanya saya berasa takut untuk membuang rahang kerana tidak mahu kelihatan cacat. Tetapi selepas dua hingga tiga bulan pembedahan dijalankan, rahang saya kembali seperti asal dan saya juga dapat berjalan dengan sempurna walaupun tulang kaki saya telah diambil bagi menggantikan rahang yang dibuang,” katanya.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Dekan Fakulti Perubatan UKM yang juga Pengarah HCTM, Prof Dr Zaleha Abdullah Mahdy dan Ketua Pusat Kemahiran Pembedahan Termaju PPUKM, Prof Madya Dato’ Dr Hanafiah Harunarashid.