Jadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Perpaduan Satukan Masyarakat Malaysia – Dato’ Seri Mohd Najib
Oleh Asmahanim Amir
Foto Abd Raai Osman dan Ikhwan Hashim
BANGI, 19 April 2017 – Bahasa Melayu perlu dijadikan sebagai bahasa perpaduan dalam menyatukan masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia, kata Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Beliau berkata badan-badan yang dipertanggungjawabkan untuk memartabatkan Bahasa Melayu perlu diberi ruang yang lebih luas dalam memastikan Bahasa Melayu dijadikan bahasa utama dalam setiap urusan seharian.
“Antaranya termasuklah menggalakkan dengan cara yang lebih fokus penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan yang melibatkan urusan perundangan dan perdagangan untuk menambah nilai kepada Bahasa Melayu itu sendiri,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis Pelancaran Kongres Budaya 2017 di UKM baru-baru ini.
Beliau berkata bagi tujuan memartabatkan Bahasa Melayu ke suatu kedudukan yang lebih tinggi, pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) harus peka dengan memberi penekanan agar nama-nama perumahan, kompleks membeli belah, nama jalan dan sebagainya mempunyai unsur tempatan dan mengelakkan dari menggunakan bahasa-bahasa bersifat kebaratan atau pengaruh luar.
“Kita sudah ada akta dan undang-undang yang mewajibkan penggunaan Bahasa Melayu tetapi agak mengecewakan apabila ia tidak dilaksanakan dengan sewajarnya,” katanya.
Katanya Bahasa Melayu kebelakangan ini berdepan dengan pelbagai cabaran dalam usaha untuk mendaulatkannya sebagai bahasa rasmi negara yang selari dengan peruntukan dalam perlembagaan.
“Pengaruh media sosial seperti YouTube, Facebook dan Twitter adalah cabaran terkini dalam memartabatkan Bahasa Melayu.
“Ia seakan memperhebatkan lagi pengaruh budaya luar yang jauh berbeza acuannya jika dibandingkan dengan rentak budaya tempatan. Apatah lagi dengan penggunaan Bahasa-bahasa rojak yang telah sedikit sebanyak menghakis keutuhan Bahasa Melayu sendiri,” ujarnya.
Dato’ Seri Mohd Najib berkata pengaruh luar yang mempengaruhi generasi baru melalui media-media baru yang diterapkan melalui dunia tanpa sempadan telah menyebabkan generasi masa kini mudah terpengaruh.
“Kecanggihan teknologi secara tidak langsung menjadikan generasi muda hari ini semakin jauh daripada nilai-nilai kehidupan positif yang sepatutnya menjadi pegangan kita tanpa sebarang kompromi,” katanya.
Katanya beliau berharap segala usaha yang dilakukan oleh para cendekiawan, budayawan dan NGO akan dapat menyemai benih-benih penyuburan nilai-nilai budaya, seperti yang dizahirkan oleh Kongres Budaya 2017 itu.
Turut hadir adalah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Pengerusi Kongres Budaya 2017 merangkap Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Dato’ Seri Dr Ibrahim Saad dan Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali.