Jadikan Kampus UKM Kampus Usahawan – Naib Canselor
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
BANGI, 4 Disember 2018 – Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali mahukan kampus UKM menjadi sebuah kampus yang lebih usahawan dalam memperlengkapkan para siswazah dengan ilmu-ilmu keusahawanan.
Beliau berkat,a para pelajar bebas menjalankan perniagaan yang mereka mahukan bagi mempersiapkan diri dengan dunia keusahawanan.
“Para pelajar tidak boleh bergantung harap kepada pekerjaan luar, sebaliknya perlu menjadi job creator berbanding job seeker.
“Saya harap dengan adanya peluang ini, saya mengalu-alukan anda semua (usahawan) ke UKM. Kita nak jadikan kampus ini lebih usahawan. We are opening up untuk para usahawan ke kampus UKM,” katanya semasa Program 100 Usahawan@UKM di Dataran Canselori, baru-baru ini.
Beliau berkata, program Town Hall itu adalah salah satu platform yang penting dalam mewujudkan jaringan kerjasama merentas disiplin dan kepakaran bersama rakan-rakan strategik UKM.
“Saya mengucapkan syabas kepada mahasiswa UKM yang telah mengambil bahagian dalam pameran keusahawanan sempena program hari ini.
“Saya berharap saudara saudari dapat memupuk serta mengembangkan minat yang ada untuk menjadi usahawan yang berjaya pada masa hadapan,” katanya.
Program 100 Usahawan@UKM adalah salah satu inisiatif di bawah Tekad 18 yang mementingkan Perkongsian Pintar dan Keterlibatan Strategik dengan mengadakan kerjasama bersama 100 usahawan yang berjaya bagi memacu kegemilangan dan keunggulan UKM.
Program itu juga merupakan salah satu insiatif bagi menerapkan budaya serta ciri-ciri keusahawanan dalam kalangan mahasiswa melalui perkongsian pengalaman, pengetahuan serta kepakaran secara langsung dengan usahawan yang berjaya.