Jadikan Penganjuran Karnival Konvokesyen UKM Ke-43 Panduan Untuk Hadapi Dunia Luar Kampus – NC UKM

001
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 9 Nov 2015 – Penganjuran Karnival Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ke-43 yang berlangsung bermula 29 Oktober hingga 3 November lalu perlu dijadikan sebagai pengalaman dan panduan kepada mahasiswa dalam menghadapi dunia luar yang semakin mencabar.

Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata karnival itu juga turut mengeratkan hubungan antara organisasi dan masyarakat luar dengan warga kampus terutamanya para pelajar yang terlibat secara langsung dalam menganjurkan karnival tersebut.

“Kemampuan melakukan kerjasama dengan badan-badan atau organisasi luar dalam menganjurkan karnival ini juga bukanlah sesuatu yang mudah.

“Kerjasama ini juga diharap dapat melahirkan individu yang berketerampilan, berdaya saing dan berupaya mengembangkan lagi bidang komunikasi berorganisasi dalam diri setiap mahasiswa,” katanya semasa berucap menutup Karnival Konvokesyen UKM Ke-43 pada 3 November.

Beliau berkata jaringan hubungan dengan masyarakat luar itu wajar diteruskan dengan menyumbang kembali kepakaran dan ilmu pengetahuan demi meningkatkan kemajuan masyarakat dan negara selaras dengan peranan UKM sebagai Pendaulat Amanah Negara.

“Saya berbangga kerana karnival ini adalah sepenuhnya dianjurkan oleh mahasiswa. Karnival ini telah membuktikan bahawa Sekretariat Karnival Konvokesyen adalah sebuah organisasi yang dinamik dan mempunyai cita-cita yang tinggi bagi menajayakan sesebuah program yang besar seperti ini,” katanya.

Katanya penglibatan dalam program-program seperti itu telah membuktikan bahawa mahasiswa UKM mampu melaksanakan pelbagai tugas.

“Kecemerlangan mahasiswa bukan sahaja diukur melalui kecemerlangan dalam akademik, tetapi juga cemerlang dalam menggalas tugas yang lebih mencabar termasuk dalam bidang pengurusan sesebuah organisasi.

“Universiti sedaya upaya telah menyediakan segalanya untuk saudara-saudari (pelajar) mencari jalan bagi mencipta kejayaan. Semuanya terpulang kepada anda untuk menimba pengalaman dan kemahiran bagi meningkatkan daya saing masing-masing,” beliau berucap.

Beliau turut melahirkan perasaan bangga atas kejayaan mahasiswa UKM yang telah menonjolkan semangat berpasukan yang tinggi dalam mencapai matlamat penganjuran karnival itu.

Pada majlis itu juga, Prof Noor Azlan turut menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi pelbagai petandingan yang diadakan sempena Konvokesyen UKM Ke-43.ukmnewsportal-bm
002

003

004