Jerebu Reda Akhir Oktober?

1
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 23 Okt 2015 – Pusat Cuaca Nasional meramalkan keadaan kemarau dan jerebu akan berkurangan tidak lama lagi.

Fenomena cuaca El Niño menyebabkan keadaan kemarau dan panas sejak tiga bulan lalu, kata Dr Mohd Hisham Mohd Anip dari Pusat Cuaca Nasional, pada forum Bicara Persada yang ke-25 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini di sini.

“Masalah jerebu kali ini berpanjangan, mula hujung bulan Syawal, sampai sekarang ada lagi. Apa yang berlaku, jerebu biasa berlaku bulan 7,8,9  pada musim tengkujuh barat daya. Angin dari Sumatera dan Kalimantan bawa asap kebakaran masuk ke negara kita.

“Tetapi kali ini, sampai bulan 10 pun tak habis. Ini sebab El Niño peralihan cuaca, bukan musim tengkujuh barat daya lagi.

“Monsoon timur laut biasa bulan ke-11, tetapi kali ini mula lebih awal.

“Kita harapkan pertengahan minggu depan boleh reda,” kata Dr Hisham   pada Bicara Persada bertajuk Bernafas Dalam Jerebu: Sampai Bila?

Menurut beliau fenomena El Niño adalah salah satu factor yang menyebabkan musim kemarau berpanjangan dan kebakaran lahan gambut tidak dipadamkan.

“Kita cerap apa-apa yang ada di udara, termasuk jerebu. Ini ada dalam kod metrologi. Dalam kes jerebu tahun ini, lebih teruk. Kenapa?

“Di belakang tabir, kita kawal El Niño yang boleh ubah corak cuaca di Malaysia dan lain-lain negara.

Pembicara lain yang turut mengambil bahagian ialah Bapa Freddy Panggabean, Ketua Bidang Koordinator Fungsi Politik, Kedutaan Indonesia di Malaysia,  Prof Dr Mohd Talib Latif dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) UKM, Mohd Famey Yusof dari Kementerian Sumber Asli dan Akam Sekitar dan Anthony Tan dari Pusat Alam Sekitar, Teknologi dan Pembangunan (CERDAM).

Sementara itu, Bapa Freddy menyeru supaya negara-negara persisiran memberi lebih sumbangan bagi membantu Indonesia membendung jerebu akibat kebakaran hutan dan lahan gambut.

Kebanyakan kawasan yang terbakar adalah lahan gambut yang mana api masih hidup di bawah tanah walaupun pada permukaan kebakaran dapat dipadamkan, kata Freddy.

Apatah lagi, pembenihan awam yang Indonesia melaksanakan kurang berkesan kerana fenomena iklim El Niño mengakibatkan angin kencang  meniup awan itu ke arah Filipina, kata beliau

“Inilah sudah maksimum. Bukan sahaja merugikan tetangga, tetapi juga kita. Tahun ini amat  serius. Saya tak boleh kata ia akan selesaikan dengan cepat kerana El Niño dan keadaan kering.

“Ini di luar kemampuan kami. Kami setuju dengan perbincangan. Kondisi tak menguntungkan,” kata penasihat duta tersebut

“Kami membuka diri dengan bantuan luar, dan terima kasih Malaysia yang bantu guna pesawat Bombardier – satu-satunya yang ada di rantau ini,” tambah Freddy.

Prof Talib pula memberitahu,  asbut, atau jerebu bukan perkara baru di Nusantara atau gugusan kepulauan Melayu.

“Ia berlaku di Nusantara sejak abad ke-18. Penanam Belanda menulis mengenainya dan kebakaran dalam tanah gambut,” kata Prof Talib.

Menurut beliau bahaya jerebu bukannya asap, tetapi gas-gas racun yang dibawa oleh angin ke Malaysia dan Singapura.

“kebakaran pada tanah gambut menghasilkan gas-gas SO2, NO2, partikel-partikel yang sangat halus, gerak ‘down-wind’, angin barat daya bawa ke-negara negara kita. Maka negara kita terkesan. Kebanyakkan partikel ini saiz 0.1 hingga 0.3 micrometre. Maka perlu pakai topeng N95. Ia boleh masuk ke paru-paru dan alveoli sistem pernafasan kita, masuk ke sistem pengaliran darah,” tambah beliau.

Anthony Tan pula mencadangkan para petani dalam gagasan ASEAN diwajibkan melaksanakan amalan-amalan bestari untuk membangunkan tanah untuk penanaman kelapa sawit.

Kata Tan amalan membangunkan tanah dengan membakar hutan harus bukan sahaja berlaku di Indonesia, malahan semua negara ASEAN.

“Sebenarnya jerebu pernah berlaku di utara Thailand pada tahun 2009, juga Selatan Vietnam, Kemboja dan Laos kerana petani-petani bakar hutan untuk menyediakan tanah untuk tanaman.

“Perilaku terbaik patut dikongsikan untuk semua negara,” kata beliau.

Mohd Famey pula berkata negara akan membina  perigi tiub sebagai langkah awal membantu pesawah bagi menghadapi kemarau pada masa depan.

Perigi tiub atau tube well ini adalah satu kaedah mendapatkan sumber bumi dan menggunakan air ke sawah-sawah bagi musim kemarau dan El Nino,” katanya.

Forum ini dipengerusikan Suhaimi Sulaiman dari Astro dan dianjurkan oleh Institut Alam Sekitar dan pembangunan (LESTARI) dan dibawa oleh UKM Pakarunding.ukmnewsportal-bm
2

 

3jerebu