Jimat Air Sekarang Untuk Elakkan Krisis Masa Depan
Oleh Saiful Bahri Kamarudin
Foto Shahidan Saidi
BANGI, 1 April 2016 – Rakyat Malaysia harus bersedia untuk musim kemarau atau fenomena El Nino dengan berjimat penggunaan air sekarang, satu forum dan dialog sempena Hari Air Sedunia diberitahu.
Walaupun Malaysia dianggap kaya dengan sumber air, itu tidak bermakna kita boleh menggunakan air sesuka hati, kata Ahmad Rizal Khalit dari Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, yang merupakan salah seorang ahli panel pada dialog itu semalam.
“Rakyat Malaysia adalah pengguna terbesar air diproses di dunia, 232 liter seorang sehari. Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyarankan kita untuk menggunakan 160 liter. Bandingkan dengan Singapura yang menggunakan 111 liter penggunaan sebenar setiap orang setiap hari,” katanya pada dialog bertajuk Air dan Pekerjaan, yang dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kementerian itu bersama-sama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan.
Beliau menegaskan bahawa sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia menggunakan air dengan bijak kerana negara ini menyasarkan pengurangan penggunaan air kepada 180 liter seorang sehari menjelang tahun 2020.
Beliau turut memberi beberapa tip bagaimana menjimatkan air, seperti hadkan mandi kepada lima minit, memasang alat pengudaraan pada kepala paip, elakkan bersih kaki lima dengan air, sebaliknya menggunakan penyapu, dan menggantikan kepala paip mandi lama dengan yang baru pancuran sederhana – antara langkah-langkah lain.
Tambah beliau lebih daripada empat bilion orang di dunia sedang menghadapi krisis air dan ini hanya akan menjadi lebih buruk akibat pencemaran dan perubahan iklim.
Kira-kira 300 pelajar dari 10 universiti menyertai dialog sehari itu yang dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) Prof Datuk Dr Mazlin Mokhtar dan turut disaksikan Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali.