Joshua Pecah Tradisi Keluarga Demi Mengejar Impian Bergelar Doktor Gigi
Oleh Siti Lailatul Mastura
Foto Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 5 November 2019 – Lahir dalam keluarga yang berlatarbelakangkan pendidikan menjadi satu cabaran buat anak muda ini untuk memecahkan tradisi keluarganya bagi mencapai impian bergelar Doktor Gigi.
Joshua Peh Jian Ren, anak kelahiran Taiping, Perak ini merupakan anak bongsu dari tiga beradik bagi pasangan guru Peh Kim Hock dan Low Siew Yen.
Graduan dari Fakulti Pergigian itu berkata, ibu, ayah, abang dan kakaknya adalah seorang guru dan ayahnya pernah menyatakan hasrat untuk melihat semua mereka menjadi guru.
“Apabila saya memberitahu kepada kedua ibu dan ayah saya untuk menjadi Doktor Gigi, mereka tidak mengahalangnya, malah terus memberi semangat untuknya terus berjaya.
“My parents always there for me. Mereka tidak pernah memberi tekanan pada saya dan mereka willing to go extra miles untuk saya mencapai cita-cita,” katanya.
Beliau berkata apabila diterima masuk ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), beliau tidak mensia-siakan peluang yang ada.
“Saya tidak melepaskan peluang untuk meneroka segala peluang yang UKM berikan. Sepanjang lima tahun di UKM, saya sering melibatkan diri dengan aktiviti luar kampus sehingga berjaya mewakili UKM ke peringkat antarabngsa,” katanya.
Antaran pencapaian beliau ialah Johan Bola Keranjang di National Dental Intervarsity Games (NDIVG) 2019, Johan Tennis Singles National Dental Intervarsity Games (NDIVG) 2018, dan Pameran Terbaik Malaysia di Kongres Tahunan Persatuan Mahasiswa Gigi Antarabangsa ke-65 (IADS) di Kaoshiung, Taiwan.
Mencerita tentang cabaran sebagai seorang pelajar, Joshua berkata, bukan senang bagi beliau untuk bergelar pelajar klinikal.
“Dari pukul lapan pagi hingga lima petang saya perlu berada di klinik, ada tanggungjawab besar pada pesakit yang perlu saya laksanakan. Manakala pada sebelah malam pula saya berada di makmal bagi menyiapkan tugasan pergigian.
“Bagi memastikan jadual belajar saya teratur, saya sentiasa memahatkan dalam diri dengan kata-kata: do your best, God will handle the rest. Tetapi, dalam masa yang sama, saya perlu berusaha bersungguh-sungguh dan percaya pada Tuhan. Tidak mengapa jika kita tidak berjaya, janji kita mesti buat yang terbaik,” ujarnya.
Katanya, beliau juga akan membuat perancangan yang teliti pada setiap hari dan mengutamakan apa yang penting pada masa tertentu.
Atas kejayaan dalam pelajaran dan kecemerlangnya di luar kampus, Joshua telah dianugerahkan Anugerah Tun Abdul Razak pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-47.