Juruaturcara Berkualiti Atasi Masalah Kegagalan Perisian
Oleh Murniati Abu Karim
BANGI, 31 Julai 2021 – Perisian yang diadaptasi dalam kehidupan manusia perlu dipastikan agar tidak gagal dan berupaya untuk beroperasi dengan baik, kata Prof Dr. Abdullah Mohd Zin dalam Syarahan Perdana Profesor yang bertajuk ‘Pengaturcaraan dalam Persekitaran Kacau Bilau’.
Menurut Prof Dr. Abdullah, penyebab kepada kegagalan perisian terjadi apabila berlakunya suasana kacau-bilau yang mengganggu proses pembangunan perisian.
“Bagi mengatasi masalah kegagalan perisian, juruaturcara perlu dipupuk dengan pembinaan budaya kualiti,” katanya.
Beliau yang merupakan Pensyarah Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, untuk mencapai tujuan tersebut tiga langkah bagi mengukuhkan pengajaran dan pembelajaran pengaturcaraan boleh dilakukan.
“Pertama, penggunaan kaedah pengajaran dan pembelajaran pengaturcaraan yang sesuai. Kedua, pembinaan budaya pengaturcaraan berkualiti sejak awal. Ketiga, penekanan kepada pemahaman dan pemilihan metodologi pembangunan perisian yang sesuai,” katanya.
Syarahan tersebut turut mengulas tentang suasana kacau-bilau yang bukan sahaja melibatkan perubahan dalam keperluan perisian, tetapi juga perubahan dalam aspek yang lain seperti perubahan kos, perubahan masa dan perubahan teknologi.
Prof Dr. Abdullah turut membentangkan satu metodologi baharu yang dikenali sebagai Metodologi Adaptif untuk mengatasi situasi kacau-bilau.
Menurut beliau, Metodologi Adaptif ini didapati sesuai digunakan bagi proses pembangunan perisian berskala besar atau sangat besar. Namun bagi pembangunan berskala sederhana, penggunaan metodologi adaptif mungkin tidak sesuai kerana ia boleh melibatkan kos yang agak besar.
Bagi mengatasi masalah kegagalan perisian bagi projek bersaiz sederhana pula, syarahan ini turut memperkenalkan satu pendekatan iaitu Pengaturcaraan Berasas Blok kerana ia lebih dekat kepada keperluan pengguna akhir.
“Penyelidikan tentang Metodologi Adaptif dan Pengaturcaraan Berasas Blok masih perlu diteruskan bagi memastikan kedua-duanya lebih mantap dan digunakan dengan meluas dalam projek pembangunan perisian,” katanya.
Syarahan tersebut turut berkongsi tentang sumbangan industri teknologi maklumat yang diharap dapat menjadi satu sumber utama pendapatan negara. Pada masa ini, sektor tersebut menyumbang kira-kira 20% kepada keluaran negara kasar dan dijangka terus meningkat pada tahun-tahun akan datang.
“Peningkatan dalam industri teknologi maklumat sudah tentu akan meningkatkan industri pembangunan perisian negara kerana perisian baharu sentiasa diperlukan bagi menyelesaikan masalah baharu yang sentiasa muncul.
“Justeru, penyelidikan dalam bidang pengaturcaraan dan pembangunan perisian akan terus diperlukan bagi memastikan industri pembangunan perisian negara terus kompetitif.
“Memandangkan cabaran dalam pembangunan perisian sentiasa berkembang, penyelidikan tentang pengajaran dan pembelajaran pengaturcaraan mesti terus berkembang selaras dengan cabaran yang dihadapi. Tambahan pula dunia pada hari ini berada dalam zaman Revolusi Industri Keempat.”
Syarahan tersebut turut dihadiri oleh Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman melalui aplikasi atas talian, Cisco Webex. Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran secara maya oleh warga dan pelajar UKM yang juga disiarkan secara langsung melalui Facebook FTSM, UKM.