K-Novasi P&P 2018 Dapat Hasil Menarik Pengajaran dan Pembelajaran


Oleh Asmahanim Amir
Foto Abdul Raai Osman

BANGI, 29 Jan 2018 – Karnival Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran (K-Novasi P&P) 2018 yang bertemakan Pendidikan 4.0: Graduan Kalis Masa Hadapan berupaya mengenengahkan hasil yang sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran.

Ini ditekankan oleh Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Tan Srr Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali ketika berucap di majlis karnival tersebut yang  menghimpunkan seramai 270 penyertaan dari Universiti Awam dan Universiti Swasta serta sekolah di seluruh Malaysia di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), baru-baru ini.

Katanya, K-Novasi adalah satu komponen yang amat penting dalam memastikan pendidikan tinggi termasuk sekolah-sekolah di negara ini mempamerkan hasil penyelidikan yang boleh digunakan untuk dua tugas tersebut.

Beliau berkata, keberkesanan inovasi tersebut seharusnya akan menyumbang kepada penghasilan atau pelajar yang berkualiti tinggi kerana tidak ada universiti di dunia ini yang tidak ada pelajar dan salah satu daripada penilaian kehebatan dan keberkesanan universiti adalah pelajarnya.

“Proses pengajaran dan pembelajaran adalah komponen yang penting dalam menghasilkan pelajar yang hebat. Dalam konteks kami di universiti, UKM mahu menyaksikan penghasilan graduannya adalah graduan yang sort after, dicari-cari dan dinanti-nanti oleh pihak industri,” katanya.

Katanya, dalam masa yang sama penyelidikan dan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran akan menghasilkan teknik-teknik baru dan mempunyai nilai-nilai komersial.

Sehubungan itu, saya berharap karnival ini akan menjadi karnival yang dinanti-nanti oleh semua pendidik dengan harapan  ia akan diterajui oleh UKM ini dan menjadi satu platform yang hebat,”ujar beliau.

Pada pertandingan tersebut, Salman Firdaus Sidek dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah dinobatkan sebagai johan keseluruhan dengan inovasi bertajuk Amalan Pembelajaran Teradun Kursus OSK Menerusi Platorm MOOC ‘Open Learning’.