Kajian ICCC Beri Manfaat Kepada Pembuat Keputusan
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 8 November 2021 – Hasil kajian ‘Impak Perubahan Iklim Terhadap Kanak-Kanak: Perspektif Malaysia’ (ICCC) yang dijalankan oleh penyelidik dari UNICEF bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkaitan iklim dan alam sekitar yang memberi kesan kepada kanak-kanak di Malaysia dapat memberi manfaat kepada pembuat keputusan.
Timbalan Ketua Setiausaha (Strategi), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr. Hishamuddin Mohd Hashim berkata hasil kajian itu akan memberi manfaat kepada para pembuat keputusan iaitu yang berada di kementerian-kementerian berkaitan termasuklah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
“Saya telah membaca laporan kajian ini dan amat tertarik dengan lima saranan yang dikemukakan oleh kumpulan pengkaji bagi menangani isu perubahan iklim dan alam sekitar dengan mengambil kira kepentingan kanak-kanak iaitu kerangka kerajaan yang peka terhadap kanak-kanak, kerangka pendidikan bijak iklim, sokongan terhadap kanak-kanak dan golongan rentan, penyelidikan dan pembangunan dan kerjasama awam dan swasta.
“Bagi saya, ia sangat baik dan boleh dibincang dengan lebih lanjut bersama pihak berkepentingan yang lain bagi memastikan kesejahteraan pembangunan kanak-kanak menjadi keutamaan dalam setiap sisi pembangunan masyarakat dan negara,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Laporan ICCC, baru-baru ini.
Beliau berkata pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sangat berbesar hati dan sangat mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama pihak institut penyelidikan, pemain industri, NGO dan mana-mana pihak yang dapat sama-sama membantu kerajaan dalam usaha pembangunan dan kesejahteraan kanak-kanak di Malaysia khususnya dan pembangunan keluarga serta masyarakat umumnya.
Menurut beliau, kajian tersebut secara asasnya telah membuktikan bahawa wujudnya perkaitan yang jelas antara perubahan iklim dan alam sekitar dengan perkembangan fisiologi dan psikologi kanak-kanak. Maka, wajarlah ia menjadi tajuk penting dalam sebarang pertimbangan dan penetapan sebarang dasar, peraturan dan program oleh semua pembuat keputusan di setiap peringkat.
“Anak-anak adalah aset masa depan kita. Corak masa depan negara kita akan terkesan dengan cara bagaimana kita menangani isu pembangunan anak-anak kita pada hari ini.
“Selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang telah diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri kita pada Ogos yang lalu, maka amat bertepatanlah, isu kepentingan kanak-kanak ini diberi perhatian dalam sebarang pembuatan keputusan kerana ianya melibatkan kelestarian alam sekitar dan seterusnya akan memberi kesan kepada manusia umumnya,” katanya.
ICCC adalah kajian yang mengkaji kesan berkaitan iklim dan alam sekitar yang memberi kesan kepada kanak-kanak di Malaysia. Kajian ini memberi tumpuan khusus kepada kumpulan terpinggir yang merangkumi kanak-kanak daripada komuniti orang asli, tidak berdokumen dan miskin bandar.